Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemerdekaan milik rakyat, bukan parti politik
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 9:40 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

Rakyat diminta mengetepikan sementara perbezaan fahaman dan pemikiran politik masing-masing bagi membolehkan Hari Kebangsaan ke-60 disambut dalam keadaan aman damai.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kemerdekaan yang tercipta bukan untuk mana-mana parti politik sebaliknya adalah kemerdekaan buat seluruh rakyat.

"Jadi, kita perlu sama-sama berdiri teguh sebagai rakyat Malaysia bagi membolehkan keamanan, kemajuan dan pembangunan negeri dan negara dapat dicapai," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Alor Setar malam semalam.

Ahmad Bashah berkata semua rakyat perlu bersatu hati dan bekerjasama dalam memupuk perpaduan antara semua kaum yang ada bagi membolehkan pengisian kemerdekaan dicapai.

"Pelbagai cabaran dan halangan yang telah kita tempuh untuk peroleh kemerdekaan dan hasil daripada kerjasama dan perpaduan kesemua kaum banyak yang telah kita peroleh sepanjang tempoh 60 tahun kemerdekaan ini," katanya.

Sementara itu, beliau meminta semua rakyat untuk memasang Jalur Gemilang di setiap rumah, premis perniagaan dan kerajaan sebagai tanda kesetiaan dan kasih terhadap negara ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS