Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surendran: Polis langgar SOP sendiri
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 10:37 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Anggota Parlimen Padang Serai N Surendran sekali lagi menegaskan polis melanggar prosedur operasi standard (SOP) mereka sendiri dengan memakaikan seseorang suspek baju lokap ke mahkamah.

Surendran yang juga seorang peguam berkata SOP yang diabaikan polis itu dikenalil sebagai Prosedur Kualiti Pengurusan Lokap, Bukit Aman yang dikeluarkan pada 1 Julai 2014.

Katanya, Peraturan-peraturan Lokap 1953 juga tidak memberikan kuasa kepada polis membawa suspek yang direman ke mahkamah dengan mengenakan baju berwarna ungu itu.

"Menjadi prinsip sangat penting untuk seseorang yang disyaki atau tertuduh dibenarkan memakai pakaian biasa semasa hadir di mahkamah dan bukannya apa-apa seragam yang mempunyai kesan menunjukkan dia ialah penjenayah.

"Sangat prejudis untuk memaksa seseorang suspek atau tertuduh berdepan dengan hakim yang mendengar kesnya dengan memakai seragam lokap.

"Tindakan itu jelas melanggar hak seseorang mendapat perbicaraan yang adil mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan," kata Surendran (gambar) dalam kenyataannya hari ini.

Komen itu dibuat bagi mengulas pandangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai isu berkenaan.

Tak boleh sehari pun

Semalam Malaysiakini melaporkan Khalid sebagai berkata langkah memakaikan suspek dengan baju lokap adalah bagi memudahkan pengecaman.

“Tujuan kita mengenakan baju ungu di lokap kita adalah bertujuan senang kita mengenal pasti orang yang kita bawa. Maklum sajalah, tahanan polis ini ramai.

“Apabila kita bawa dengan lori ke mahkamah itu pakai pakaian biasa, dia macam orang biasa. Kalau terjadi apa-apa kita tak dapat ambil tindakan dengan pantas.

"Itu tujuan utama kita pakaikan dia pakaian warna ungu supaya kita dapat cam dia dan ia mematuhi peraturan lokap," katanya.

Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mempertahankan amalan memakaikan baju lokap mereka - berwarna oren - pada seseorang suspek.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata jika ada sesiapa tidak berpuas hati dengan prosedur itu, mereka boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

"Jika ini tidak sah, bawa ke mahkamah dan cabar kami," katanya.

Menurut Surendran sangat mengejutkan apabila Khalid seperti tidak sedar SOP Bukit Aman melarang suspek yang direman untuk dibawa ke mahkamah dengan seragam lokap.

"Saya menggesa ketua polis negara dan SPRM mengetepikan usaha terdesak mereka mempertahankan amalan terlarang dan melanggar perlembagaan ini.

"Amalan ini mesti dihentikan serta-merta, tidak dibenarkan terus diamalkan walaupun sehari lagi," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS