Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu baju lokap SPRM: Dzulkifli jengkel, sedia ke mahkamah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad jengkel apabila diajukan soalan bahawa adalah menyalahi undang-undang apabila memaksa individu yang ditahan atas siasatan rasuah dipaksa memakai pakaian lokap berwarna oren.

"Undang-undang mana yang mengatakan begitu?" soalnya selepas wartawan memintanya mengulas kenyataan Anggota Parlimen Padang Serai N Surendran yang berkata, amalan itu melanggar prinsip bahawa seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

Malah katanya, tindakan SPRM itu menyalahi undang-undang serta melanggar perlembagaan persekutuan.

Diasak lanjut mengenai isu itu, Dzulkifli berkata jika sesiapa tidak berpuas hati dengan pakaian lokap itu, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

"Jika ini tidak sah, bawa ke mahkamah dan cabar kami.

"Jika tidak berpuas hati, mereka boleh membawanya ke mahkamah," katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur.

Surendran mengulas penahanan berprofil tinggi iaitu anggota exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang dibawa ke mahkamah dengan memakai pakaian okap SPRM berwarna oren.

Menurutnya, seseorang yang ditahan untuk membantu siasatan mesti dibenarkan memakai pakaiannya sendiri dan bukan pakaian yang disediakan pihak berkuasa yang menahannya.

Malah, kata Surendran, seseorang yang diminta berpakaian sedemikan boleh menolaknya dari sudut undang-undang.

"Dipaksa memakai pakaian berwarna oren yang terang dan diarak di premis mahkamah adalah menghina orang yang ditangkap dan mencetuskan tanggapan bahawa dia memang salah atau melakukan jenayah, walaupun mahkamah belum memutuskan bersalah.

"Gambar dan video orang yang ditahan memakai pakaian ini disiarkan di akhbar dan televisyen, dengan itu memalukan individu ini yang masih belum bersalah dari sudut undang-undang," katanya.

Lihat Komen
ADS