Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Aktivis Badrul Hisham Shaharin hari ini menyerahkan beberapa dokumen bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu bayaran kontrak Universiti Selangor (Unisel).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata ia merangkumi perjanjian Unisel dan kontraktor Jana Niaga Sdn Bhd, surat menyurat antara kedua-dua pihak, invois bayaran dan dokumen perundangan.

Bekas pemimpin PKR yang dipecat itu berkata beliau memperoleh dokumen-dokumen itu sejak bulan lalu daripada sumber yang enggan didedahkannya.

Dalam sidang media di SPRM Selangor itu, beliau bagaimanapun tidak mengedarkan atau mendedahkan kandungannya kepada media.

SPRM hari ini dilapor menyerbu Unisel, pejabat Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI) dan Jana Niaga.

Tindakan itu dipercayai susulan laporan ke atas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan MBI berhubung pertikaian antara Unisel dan Jana Niaga.

Jana Niaga dituduh menerima bayaran walaupun gagal memenuhi kontraknya bersama Unisel.

Bukan cuma kambing hitam

Bagaimanapun MBI mendakwa bayaran berkenaan dibuat kepada Jana Niaga mengikut keputusan timbang tara mahkamah.

Badrul antara aktivis yang lantang mempersoalkan pelbagai isu melibatkan pentadbiran negeri Selangor bawah pentadbiran Azmin.

Selain itu, Badrul Hisham berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada SRPM kerana melakukan serbuan tersebut hari ini.

Malah, beliau juga berharap agar pihak berkuasa itu bukan sekadar mencari 'kambing hitam' dalam kes berkenaan.

"SPRM pun dah mula bertindak dan kita tak mahu tindakan ini sekadar mencari kambing hitam.

"Kita yakin SPRM perlu kerjasama dan bantuan semua (pihak) perlu untuk terus bertindak.

"Rasuah ni, kalau (orang) kat atas makan, bawah pun makan dan saya nak tengok dengan kes hari ini tertangkapnya jerung yang selama ini kenyang di Selangor," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS