Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu kerusi Gombak semula
Diterbitkan:  Aug 24, 2017 2:58 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

Adalah "wajib” bagi PAS bertanding di Gombak, sebuah kerusi Parlimen yang kini dipegang oleh Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kata Persuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi hari ini.

“Parlimen Gombak itu wajib kita ambil.

“Sejarah sebelum ini, sebelum PKR ada, PAS yang minat kerusi Selangor. Tetapi PKR datang...

“Setelah ada PKR bahkan ada MB Selangor PKR. Presiden Pas juga suruh PKR jadi MB Selangor walaupun PAS memang 15 kerusi,” katanya.

Sallehen berkata demikian ketika menjawab soalan selepas mengumumkan bahawa PAS Selangor bersedia bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Terdapat tiga kerusi DUN dalam sempadan kawasan Parlimen Gombak - Gombak Setia, Ulu Kelang dan Batu Caves.

Daripada ketiga-tiga kerusi itu, calon PAS menang di Gombak Setia dan Ulu Kelang, manakala kerusi Batu Caves dimenangi oleh calon PKR.

Ini menunjukkan bahawa Gombak mempunyai pengaruh dan penyokong PAS yang besar.

Pengumuman Sallehen yang turut menyatakan ketetapan tersebut sekaligus menyaksikan kemungkinan tiada kerjasama semula di antara PAS dengan PKR seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Azmin sebelum ini berulang kali berkata, beliau akan memastikan pembangkang akan bertanding satu lawan satu dengan BN.

Keadaan di Selangor adalah unik kerana walaupun PAS secara rasmi memutuskan hubungan dengan PKR, parti Islam itu masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PKR.

Terdahulu hari ini, Sallehen mengumumkan bahawa PAS Selangor bersedia untuk bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN dan bersedia untuk berdepan dengan BN dan juga bekas sekutunya.

Walau bagaimanapun, bilangan sebenar calon yang akan diletakkan akan ditentukan oleh jawatankuasa pusat PAS.

Lihat Komen
ADS