Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah bersama pengurus sekretariat NGO itu, Mandeep Singh hari ini dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah majistret Kuala Lumpur berhubung himpunan ‘Kita Lawan’ pada tahun 2015.

Hari ini sepatutnya ditetapkan sebagai hari pertama pendengaran untuk mencabar kesahihan pertuduhan protes jalanan itu mengikut Seksyen 4 (3) Akta Perhimpunan Aman.

Walau bagaimanapun, timbalan pendakwa raya kes berkenaan tidak hadir pada prosiding hari ini.

Ini menyebabkan peguam Gooi Hsiao-Leung yang mewakili Sim dan peguam Arina Ong, Amer Hamzah Arshad dan Rajsurian Pillai yang mewakili Maria, Mandeep serta tertuduh keempat iaitu aktivis Fariz Musa memohon pelepasan tanpa dibebaskan.

Rajsurian mengesahkan tiga daripada mereka dilepaskan tanpa dibebaskan.

Majistret itu kemudian mengeluarkan waran tangkap ke atas Fariz kerana tidak datang ke mahkamah. Peguamnya membekalkan satu salinan sijil perubatan untuk membuktikan bahawa anak guamnya tidak sihat tetapi ini tidak diterima.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September depan untuk sebutan kes Fariz.

Maria dan Sim adalah antara sembilan individu yang didakwa pada September tahun 2015 di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan Kita Lawan antara 28 Februari dan 28 Mac.

[Baca berita penuh]