Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo tidak ikut jadual
Diterbitkan:  Sep 1, 2017 6:59 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Berbagai kerja dalam projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah tidak dapat disiapkan mengikut jadual menurut Kementerian Kerja Raya dalam jawapan bertulis parlimen.

Anggota parlimen Putatan Datuk Dr Marcus Mojigoh telah bertanyakan Dewan Rakyat tentang perkembangan terkini projek bernilai berbilion ringgit itu.

Kementerian memberi jawapan setakat bulan Jun 2017, tiga daripada empat pakej yang sedang dalam pembinaan di Sabah itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, manakala dua lagi sedang melalui 'kerja-kerja pra pembinaan.'

Terdapat 35 pakej kerja secara keseluruhannya.

“Pakej dari Donggongon ke Papar (11.7km), kemajuan semasa adalah 22.34 peratus (sebenar) berbanding 35.11 peratus (jadual).

“Pakej dari Tawau ke Semporna (5km), kemajuan semasa adalah 30.20 peratus (sebenar) berbanding 39.67 peratus (jadual).

“Pakej Lahad Datu Bypass (7km), kemajuan semasa adalah 7.23 peratus (sebenar) berbanding 14.84 peratus (jadual),” menurut jawapan bertulis parlimen.

Dua pakej yang sedang melalui kerja pra pembinaan adalah daripada Sindumin dan Kampung Melalia (28.4km) dan dari Kampung Lot M ke Sandakan(18km).

Pakej di atas menjadi sebahagian daripada fasa pertama projek tersebut, yang apabila siap pada 2021 akan berjarak sepanjang 706 km. Dijangkakan ia akan memakan belanja RM12.86 bilion.

Fasa kedua akan meliputi kawasan dari Tamparuli dan Ranau, manakala fasa ketiga akan bermula dari Tawau ke Kimanis. Jarak sebenar lebuh raya ini bagi dua fasa berikutnya masih dalam pemerhatian, kata kementerian itu.

Mojigoh yang juga naib presiden parti United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) juga bertanyakan berkenaan jenis-jenis 'kerosakan kolateral' kepada masyarakat setempat akibat projek pembinaan tersebut.

Kementerian menjawab penilaian kesan alam sekitar akibat lebuh raya itu menjangkakan gangguan trafik, pemindahan penduduk, juga pencemaran udara, bunyi dan air.

“Walau bagaimana pun, langkah berpatutan telah dirangka dan akan dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan,” kata kenyataan itu lagi.

Langkah-langkah itu termasuklah merangka rancangan pengurusan trafik, pelan pengurusan alam sekitar dan merancang lebuh raya itu dengan cara mengurangkan kesannya terhadap penduduk berdekatan.

Lebuh Raya Pan Borneo, dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai ikrar manifesto PRU 13. Lebuh raya itu dikatakan sebagai projek infrastruktur paling besar di Malaysia Timur setakat ini.

Ia akan merentas Sabah dan Sarawak tetapi ia dibina secara berasingan di kedua-dua negeri tersebut.

Borneo Highway PDP Sdn Bhd dilantik pada April untuk menyiapkan fasa satu lebuh raya itu.

Kerajaan negeri berjanji rakyat Sabah akan dikecualikan daripada membayar tol lebuh raya itu nanti.

Lihat Komen
ADS