Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi pihak kerajaan hari ini menzahirkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana telah memberi perkhidmatan yang terbaik dalam mengawal perjalanan Sukan SEA 2017 (KL2017).

Beliau berkata kawalan keselamatan di semua lokasi pertandingan juga merupakan antara faktor yang mendorong kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan edisi kali ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata seramai 25,000 anggota polis bertugas mengawal keselamatan Sukan SEA bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk ancaman militan dan pengganas.

"Walaupun (kejayaan) bukan sumbangan langsung PDRM tetapi keselamatan dan kawalan yang ada membolehkan Malaysia mencapai keputusan cemerlangan berbanding mana-mana Sukan SEA sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra sempena Aidiladha bersama warga Briged Utara PGA, 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) dan Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta di Perak.

Malaysia menamatkan saingan KL2017 dengan merangkul 145 pingat emas melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 111.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berjanji untuk menaiktaraf kemudahan berek di PGA Ulu Kinta yang disifatkan telah jauh ketinggalan memandangkan ia dibina sejak 50 tahun lalu.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab saya akan memastikan penggantian paip lama di kem ini diganti dengan segera " katanya.

Beliau menyifatkan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) sebagai tulang belakang kepada PDRM kerana tidak jemu memberi semangat kepada suami mereka yang merupakan pegawai dan anggota polis.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan sumbangan peribadi keseluruhan berjumlah RM30,000, masing-masing RM10,000 kepada PERKEP PGA Briged Utara, 69 Komando PGK dan PLPGA.

-Bernama

Lihat Komen
ADS