Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Terima kenyataan pertembungan 3 penjuru'
Diterbitkan:  Sep 3, 2017 7:24 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Pemimpin parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu menerima kenyataan yang mereka terpaksa bertembung tiga penjuru dengan PAS dan BN.

"Pimpinan dan parti-parti HARAPAN mesti berdepan dengan realiti politik bahawa pertembungan tiga penjuru melibatkan PAS, malah di Selangor akan terjadi juga dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 nanti.

"Sebab itulah lebih awal kita menerima realiti politik ini, lebih besar peluang HARAPAN untuk menewaskan Umno BN malah dalam pertembungan tiga penjuru bagi membawa perubahan ke atas kerajaan persekutuan di Putrajaya dan kerajaan Johor di Nusajaya untuk kali pertama dalam sejarah," kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Memandangkan HARAPAN 'sedang berlawan dengan masa', Lim menekankan kepentingan gabungan itu untuk menyediakan penjelasan.

"Terdapat keperluan untuk kejelasan terhadap keadaan politik tanpa tangguh lagi dan ia sangat penting untuk memperuntukkan masa bagi menyampaikan kepada 3.5 juta anggota Umno bahawa Datuk Seri Najib Razak mesti ditewaskan bagi menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi global.

"Masa juga diperlukan untuk menjelaskan kepada jutaan ahli PAS bahawa sokongan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk Najib dan kleptokrasi globalnya merupakan sesuatu yang tidak akan dipersetujui oleh kepepimpinan sebelumnya seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Fadhil Noor atau Haji Yusof Rawa," kata beliau.

Lim turut berkata anggapan pertembungan tiga penjuru akan menguntungkan BN tidak semestinya benar dengan dinamika baru politik negara.

"Saya percaya jika ada pertembungan tiga penjuru dalam PRU14 di Johor, PAS tidak akan mesang satu pun kerusi dewan undangan negeri Johor dan peratusan undi yang diraih calon PAS diperingkat DUN akan berkurangan di antara 5 peratus ke 8 peratus.

"Ini kerana saya tidak percaya majoriti pengundi PAS akan bersetuju dengan sokongan politik Hadi kepada NAjib, 1MDB dan Malaysia menjadi negara kleptokrasi global," kata beliau.

Lim menekankan HARAPAN perlu mengambil peluang momentum semasa dan tidak membuang masa dan menundanya lagi.

PKR dalam beberapa minggu ini menyaksikan perpecahan dalaman apabila para pemimpinnya membahaskan sama ada mereka perlu terus melibatkan PAS dalam rundingan pilihan raya.

Semalam, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam warkah beliau menyatakan pendirian bahawa rundingan dengan PAS perlu sentiasa dibuka.

Beliau juga prihatin bahawa penangguhan akibat rundingan dengan PAS akan memberi kesan terhadap persiapan pilihan raya, menyatakan menjadi keperluan PKR untuk terus bersatu dan bergerak dengan pantas.

Lihat Komen
ADS