Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FBI: Kemungkinan saksi siasatan 1MDB takut bercakap
Diterbitkan:  Sep 6, 2017 9:53 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Penyiasat Amerika Syarikat yang menjalankan siasatan jenayah terhadap dana berkaitan 1MDB menghadapi masalah kerana beberapa individu yang mungkin menjadi saksi, terlalu takut untuk bercakap, lapor rangkaian media AS, Bloomberg.

Sesetengahnya di "negara-negara asing" yang telah membantu siasatan jenayah, bimbang dengan keselamatan mereka, sementara yang lain mengatakan ia terlalu berbahaya untuk bekerjasama, kata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam satu pemfailan di Mahkamah Persekutuan di Los Angeles semalam.

Laporan itu menyebut bahawa FBI telah meminta supaya dirahsiakan nama-nama pemberi maklumat daripada pihak yang didakwa dalang konspirasi 1MDB itu.

Individu-individu berkenaan berkata mereka bimbang untuk meletakkan "keselamatan diri mereka dan keluarga mereka dalam risiko yang serius, kata FBI dalam pemfailannya itu.

Bulan lalu, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) memohon supaya samannya untuk merampas keuntungan dari pengeluar filem Red Granite, serta 12 saman berkaitan 1MDB, ditangguhkan agar tidak menjejaskan siasatan jenayah terhadap perkara itu.

Aset yang disasarkan itu diperoleh oleh Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low; Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak; dan Khadem al Qubaisi, bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Co (Ipic) Abu Dhabi.

Laporan berita Malaysia dipetik

Pihak-pihak yang terlibat dalam saman berkaitan 1MDB itu telah meminta mahkamah supaya meneruskan prosiding.

FBI juga memetik laporan berita Malaysia, di mana pegawai tempatan ditangkap kerana peranan mereka dalam siasatan dakwaan penyelewengan dalam 1MDB dan pemandu bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang ditembak di rumahnya di Ampang Perdana lewat bulan lepas.

Berikutan dakwaan skandal 1MDB yang terdedah dua tahun lalu, pihak berkuasa Malaysia, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) memulakan siasatan mereka terhadap dakwaan penyelewengan dana milik negara itu.

Pada 27 Julai 2015, perkhidmatan Gani ditamatkan secara tiba-tiba, dilaporkan kerana masalah kesihatan, dan beliau digantikan oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Siasatan AS terhadap 1MDB adalah sebahagian daripada usaha global untuk mengesan berapa banyak daripada AS$6 bilion (RM25.51 bilion pada kadar semasa) yang dikumpulkan 1MDB untuk projek-projek pembangunan, yang didakwa telah diselewengkan atau terlibat dalam pengubahan wang haram.

Switzerland, Singapura dan Luxembourg adalah antara negara yang turut menyiasat peranan yang dimainkan oleh bank dan individu dalam skandal 1MDB.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS