Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Sekumpulan sukarelawan serta bekas penagih yang terlibat dengan Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) berdemonstrasi di hadapan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Presidennya NGO pemulihan dadah itu Datuk Mohd Yunus Pathi berkata perhimpunan sejam bermula jam 11 pagi ini dianjurkan kerana mereka diarah berpindah daripada pusatnya di ibu negara.

Pusat rawatan penagih dadah itu dilapor berdepan tindakan mahkamah selepas diarah berpindah oleh anak syarikat Khazanah Nasional, STLR Sdn Bhd ke Bentong, Pahang.

"Sebenarnya apa yang dilakukan STLR tidak mengikut piawaian Kawalan Rehabilisasi Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Mereka ada sediakan tempat baru tapi tidak selamat untuk didiami, ada binatang liar iaitu babi hutan.

"Kita dah hantar surat empat kali kepada Khazanah tapi tak ada maklum balas.

"Jadi kita sekarang dalam proses nak hantar surat kepada perdana menteri.

“Sebelum ini, dua minggu lalu kami sudah hantar surat pada timbalan perdana menteri serta penaung PENGASIH Datuk Ismail Sabri," kata Mohd Yunus kepada Malaysiakini.

Mereka turut membawa kain rentang memohon bantuan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tak selamat, ada babi hutan, serangga

Sementara itu, ahli Lembaga Pemegang Amanah PENGASIH, Shahrir Subki berkata, pihaknya bukan ingkar arahan berpindah ke Bentong tetapi mereka mahu memastikan premis baru itu selamat serta selesa untuk didiami.

“Ia bagi memastikan keselamatan pelanggan kami (para penagih dadah) yang dalam proses pemulihan, mereka memerlukan tempat yang selamat.

“Persekitaran yang baik juga membantu pemulihan mereka.

“Ketika ini, tempat itu (di Bentong) tidak selamat kerana terdapat babi hutan dan serangga. Keseluruhan kompleks itu perlu dibaiki dan dilengkapi dulu.

“Malangnya, kami tidak mempunyai dana untuk menyempurnakannya,” kata Shahrir.

Shahrir berkata, sebagai NGO yang membantu kerajaan dalam memulihkan penagih dadah, beliau berharap Najib yang juga menteri kewangan membantu mereka.

PENGASIH turut meminta bantuan orang awam serta sektor korporat untuk membantu mereka berpindah ke Cinta Manis, Bentong, Pahang bagi melengkapkan prasarana di kawasan berkenaan.

NGO berkenaan memerlukan sejumlah dana RM14 juta untuk memastikan kompleks PENGASIH di Bentong itu disiapkan.

Lihat Komen
ADS