Dua lelaki di Sibu direman lapan hari manakala seorang lelaki di Sarikei direman lima hari bagi membantu siasatan dua kes sumbang mahram berasingan yang dilaporkan di bahagian itu semalam.

Kes pertama membabitkan lelaki berusia 53 dan 25 tahun dari sebuah rumah panjang, di Sibu yang dikatakan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun sejak Ogos tahun lalu.

Perbuatan terkutuk itu diketahui apabila mangsa yang tinggal bersama nenek dan kedua-dua suspek itu memberitahu ibunya mengenai perkara tersebut pada 10 pagi, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah yang tidak menyatakan masa dan tempat tangkapan berkata, suspek pertama yang tidak bekerja mempunyai rekod jenayah rogol lampau manakala suspek kedua bekerja di sebuah kilang kayu dan tiada rekod lampau.

“Kedua-dua suspek yang merupakan keluarga terdekat mangsa direman bermula hari ini sehingga 14 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” katanya dan menambah ibu mangsa tinggal di Balingian bersama suami baharu beliau.

Sementara itu di Sarikei, seorang bapa yang disyaki merogol anak perempuan kandung berusia 15 tahun direman mulai hari ini hingga 11 September bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei DSP Zamry Ali berkata buruh berusia 38 tahun itu ditahan pada kira-kira 4 petang semalam, di Hospital Sarikei.

Kejadian itu terbongkar pagi semalam selepas pelajar sebuah sekolah menengah berasrama itu mengadu sakit perut kepada warden asrama.

Mangsa yang mengadu kepada gurunya bahawa beliau dirogol bapa kandungnya telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk pemeriksaan pada kira-kira 12.40 tengah hari.

Perkara itu dilaporkan kepada polis selepas pemeriksaan dibuat dan lelaki itu ditahan ketika melawat anaknya.

Mangsa dikatakan dirogol bapa kandungnya di kediaman mereka di sebuah rumah panjang di Sarikei sejak Julai lalu.

- Bernama