Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menangguhkan sementara kutipan caj tempat letak kereta di Stesen Keretapi Tanjong Malim yang sepatutnya bermula hari ini.
Pada masa sama, RAC juga akan mengkaji semula kadar caj yang dikenakan di beberapa stesen dengan mengambil kira aspek lokasi sama ada di dalam bandar atau luar bandar dan kekerapan penggunaannya.
“Kadar caj adalah percuma bagi 15 minit pertama, RM2 bagi tiga jam seterusnya, diikuti tambahan RM1 bagi jam berikutnya dengan kadar caj maksimum RM4 sehari setiap kali masuk.
"Bagi motosikal, kadarnya adalah RM1 manakala bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) ia adalah percuma. Cajnya adalah seragam bagi seluruh stesen kereta api dan komuter di seluruh negara ," kata RAC dalam kenyataan.
Terdapat 18 stesen kereta api di Perak dan daripada jumlah itu hanya tiga stesen mempunyai operator parkir iaitu di Tanjong Malim yang diurus Amicon Enterprise bermula 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2020 dan di stesen Ipoh dan Batu Gajah yang dikendalikan KTMB Carpark.
Semalam kerajaan negeri Perak meminta agar RAC menangguhkan kutipan caj tempat letak kereta di stesen keretapi di negeri itu bagi memberi keselesaan kepada rakyat.
- Bernama
