Hari jadi YDP S'wak disambut meriah dalam hujan rahmat
Sambutan hari jadi ke-81 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berlangsung dengan lancar dan meriah di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, Petra Jaya hari ini dengan diiringi hujan rahmat sejak awal pagi.
Upacara sambutan bermula tepat 9 pagi dengan acara perbarisan dan perarakan oleh 81 kontinjen yang melambangkan usia Yang Dipertua Negeri, dengan penyertaan hampir 4,000 orang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan beruniform dan bukan beruniform serta pelajar.
Yang turut hadir ialah isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang serta menteri-menteri Kabinet negeri.
Ini adalah kali pertama sambutan hari jadi Yang Dipertua Negeri diadakan di luar Padang Merdeka yang sedang melalui kerja pembaikan.
Sambutan pada tahun ini diadakan selama tiga hari, bermula semalam dengan solat dan doa selamat di Masjid Jamek, Petra Jaya, yang turut disertai oleh Taib dan isteri, Abang Johari dan isteri serta anggota Kabinet negeri yang beragama Islam.
Selesai perarakan di Dataran Perayaan, Taib dan isteri berangkat ke Kompleks Dewan Undangan Negeri untuk majlis penyampaian anugerah dan pingat kebesaran negeri.
Malam ini Yang Dipertua Negeri bersama isteri dan Ketua Menteri dan isteri akan menghadiri majlis makan malam di Kompleks Dewan Undangan Negeri.
Sementara itu, malam ini juga akan turut berlangsung konsert, bermula 7.30 malam di Dataran Perayaan yang menampilkan penyanyi seperti Azharina (juara Gegar Vaganza 2016), Bob (Akademi Fantasia), Ricky Andrewson (penyanyi Iban) serta beberapa penyanyi lain.
Esok Yang Dipertua Negeri akan menghadiri jamuan teh di Tebingan dan beliau akan menyampaikan hadiah kepada 200 golongan kurang upaya sebelum melancarkan serentak dua pameran, iaitu Pameran Dirgahayu dan pameran Raja Kita di pusat Belia Merdeka Plaza di Kuching.
Pameran berkenaan diadakan bersempena sambutan hari jadi Yang Dipertua Negeri dan sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang turut disambut hari ini.
- Bernama

