Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah Muhammad Zahid Mahmod menyifatkan kesemua pelajarnya yang maut dalam kebakaran awal pagi tadi sebagai mati syahid.

"Budak-budak yang masih kecil ini, kita anggap mereka mati syahid. Mereka sanggup tinggalkan ibu bapa, tinggalkan masakan air tangan bonda, adik-beradik dan masa bermain untuk tinggal di sini.

"Semata-mata untuk belajar agama. Mereka ini, insya-Allah mati syahid,” katanya ringkas kepada pemberita di tempat kejadian di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan atas nasihat polis untuk mengelakkan percanggahan maklumat.

Kebanyakan pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun sedang tidur ketika api mula marak di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Tragedi itu meragut nyawa 22 pelajar tahfiz dan dua guru tahfiz.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar ketika ditemui di sana berkata, pusat tahfiz itu tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada pihak pusat bulan lepas, namun masih belum diberikan kelulusan.

"Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal.

"Bangunan ini juga belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Muhammad Zahid sebagai berkata pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini sepatutnya berpindah ke bangunan asal di kawasan berhampiran yang telah siap diubah suai hujung bulan lepas, kata pengetua pusat tahfiz itu, Mohd Zahid Mahmod.

Beliau berkata bangunan tempat berlaku kejadian adalah bangunan sementara menunggu kerja pengubahsuaian yang dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan.

"Saya menguruskan sepenuhnya pusat tahfiz berkenaan sejak 15 tahun lepas dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Premis berkenaan menempatkan 42 pelajar, enam guru dan dua warden dari seluruh negara manakala segala kemudahan adalah percuma menerusi tajaan penaung, sumbangan orang ramai serta MAIWP," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata ini merupakan kejadian kebakaran pertama kali berlaku dan kebiasaannya selepas solat Isyak dan tazkirah pelajar tahfiz akan dibenarkan berehat.

"Kebanyakan mangsa yang meninggal dunia lebih muda berbanding mereka yang sempat menyelamatkan diri.

“Lokasi kejadian melibatkan bilik penginapan pelajar dan mereka juga tidak dibenarkan memasak di bilik itu," kata Mohd Zahid.

Katanya, aktiviti memasak hanya dibenarkan di tingkat bawah dan pihak tahfiz hanya menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan premis ini.

Baca juga: Selebriti iring doa mangsa kebakaran pusat tahfiz

Lihat Komen
ADS