Paling Popular
Terkini

EKSKLUSIF I Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jadi kuda tunggangan DAP, sama halnya dengan tuduhan yang dilemparkan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dan DAP itu digambarkan sebagai parti Cina cauvinis yang akan menghapuskan - atau setidak-tidaknya mengancam - hak keistimewaan orang Melayu.

Antara orang yang membuat dakwaan itu dulu ialan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. Kini Dr Mahathir yang sama mempertahankan DAP dan menjamin hak yang dibimbangi akan terhakis itu tetap terpelihara.

Kata pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, hak keistimewaan orang Melayu akan kekal terpelihara, malah mereka akan memberi perhatian juga kepada kepentingan kaum-kaum lain.

"Kita tak mahu samun apa yang dimiliki orang bukan bumiputera untuk memperkayakan bumiputera. Ini memang dasar saya sejak dulu lagi," katanya dalam pertemuan dengan Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya baru-baru ini.

Dr Mahathir menjelaskan semasa pentadbiran BN sebelum ini kerajaan memberikan bantuan kepada orang Melayu dan bumiputera dan faedahnya turut dinikmati kaum-kaum lain.

"Kerana orang Melayu, misalnya kita beri kontrak kepada mereka, bekalan segala bahan binaan datang daripada usahawan Cina, subkontrak dapat kepada mereka," katanya.

Dr Mahathir terkenal dengan pendirian keras menyerang DAP yang pernah dilabelnya sendiri sebagai cauvinis. Tindakan itu membawa DAP bergelut dengan krisis imej di kalangan pengundi Melayu dan menampakkan parti terbabit dijauhi.

DAP kemudian diterima perlahan-lahan oleh Melayu melalui perlbagai pendekatan yang diambil, termasuk meletakkan - secara relatif - lebih ramai calon Melayu dalam pilihan raya. DAP juga bekerjasama dengan PAS yang pada masa sama memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu terutama Cina.

Sekarang Dr Mahathir sendiri menjadi salah seorang yang gigih memberi takrif baru kepada DAP.

"Pada mulanya DAP memang parti Cina. Dia tiru PAP (Parti Tindakan Rakyat) Singapura. Tapi selepas beberapa kali pilihan raya DAP dapat dengan sendiri mereka tidak boleh menang atau mempengaruhi kerajaan.

"Sebab itu mereka sanggup bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk PAS. Untuk itu pandangan politik DAP perlu menjadi sederhana.

"Kalau pada mulanya dia lebih bersifat Cina, sekarang dia lebih Malaysia.

"Kepentingan Melayu, India dan lain-lain semua diambil kira," katanya.

Keadaan begitu kata Dr Mahathir tidak berlaku dalam MCA yang menjadi salah satu parti komponen BN.

Mengenai tuduhan PAS yang bernada sama seperti Umno apabila mengaitkan sokongan kepada HARAPAN adalah undi untuk DAP, Dr Mahathir menjelaskan ia memang menjadi kaedah propaganda parti berkenaan.

Langkah itu katanya bertujuan untuk menakut-nakutkan Melayu kepada DAP yang menjadi komponen dalam HARAPAN.

"Tetapi orang Cina di Malaysia cuma 26 peratus dan tertumpu di kawasan-kawasan bandar, manakala di luar bandar orang Melayu lebih ramai.

"Mereka tidak boleh bertanding di luar bandar. Sebab itu pada pilihan raya umum lalu BN tetap menang walaupun jumlah undi popular dikuasai pembangkang," katanya.

Daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi parlimen kata Dr Mahathir DAP tidak dapat bertanding di lebih daripada 55 kawasan. Dan tidak semuanya boleh dimenangi parti berkenaan.

Ketika ini juga kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu sudah ada wakil rakyat Melayu dalam DAP dan keanggotaannya adalah daripada pelbagai bangsa.

"Dia guna bahasa Melayu, bahasa kebangsaan, nyanyian (lagu rasmi parti) pun dalam bahasa kebangsaan. Bukan macam MCA yang utamakan orang Cina saja," katanya.

Orang Melayu menurut Dr Mahathir semakin lama makin sedar bahawa DAP bukanlah 'syaitan' yang pernah digambarkan Umno, termasuk dirinya.

"Saya bertanggungjawab juga (untuk dakwaan begitu). Saya yang menggambarkan DAP sebagai monster tapi kita dapati sekarang mereka lebih rela bekerjasama dengan parti-parti Melayu berbanding MCA," katanya.

Pada masa sama kata Dr Mahathir pengundi Melayu - termasuk di luar bandar - umumnya lebih terbuka memahami realiti berbanding suatu ketika dulu.

Mereka, katanya dapat memahami penjelasan yang diberikan HARAPAN, terutama oleh BERSATU sendiri yang memang sebuah parti Melayu.

"Sebab itu kami dapat lihat di mana-mana kami pergi, yang datang adalah orang Melayu.

"Baik di Felda atau kawasan-kawasan lain yang pembangkang tak boleh masuk dulu, sekarang kami boleh masuk dan yang datang mendengar ialah orang Melayu," katanya.

Menurut Dr Mahathir sebahagian orang Melayu memang sedar dengan apa yang berlaku dalam kerajaan di bawah Datuk Seri Najib Razak.

"Mereka mungkin setia kepada Umno tapi mereka tak suka Najib, mahu singkirkan Najib. Dengan itu mereka berpendapat adalah lebih baik sokong HARAPAN berbanding BN," katanya.

Ditanya sama ada orang Melayu masih berasa terhutang budi kepada Umno dan BN, Dr Mahathir menegaskan ia memang tidak dinafikan.

Cuma katanya "hutang budi" itu adalah kepada BN dan bukannya Najib.

"Mereka tahu membezakan antara Najib dengan perdana menteri sebelum dia - Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, dan saya pun.

"Keadaan berbeza untuk Abdullah (perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan Najib.

"Dulu tahap rasuah tidaklah seperti ini. Sekarang ini kita ada ketua kerajaan sebagai orang paling korup," katanya.

Berita berkaitan:

PM jumpa Trump: Kita rasa malu, Najib senyum saja

Reagan 'belanja' Mahathir semasa ke Rumah Putih

Jika bertanding, Langkawi atau Putrajaya pilihan Dr M


Temu bual ini dikendalikan bersama oleh Al-Abror Mohd Yusuf, Andrew Ong, Zikri Kamarulzaman dan Annabelle Lee.

 

Lihat Komen
ADS