Terjemahan Sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah membayar gaji pengarahnya lebih daripada setengah juta ringgit tahun lalu, walaupun ia mencatatkan kerugian RM71.2 juta.

Ini tidak masuk akal tetapi Sime Engineering Services telah membayar ketua eksekutifnya, Md Ja'afar Abdul Carrim, sejumlah RM550,000.

Bagi syarikat swasta tersenarai pula, Rashid Hussain Berhad membayar pengerusi eksekutifnya, Datuk Sulaiman Abdul Rahman Taib, RM13.5 juta pada tahun 2004 walaupun ia mencatat kerugian RM21.5 juta. Ini juga tidak masuk akal, tetapi ia berlaku.

Mengulas perkara tersebut (lihat carta di bawah), Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti itu telah membawa perhatian mengenai perlunya kerajaan menstruktur semula skim lgaji bagi pegawai tinggi eksekutif GLC dan ini harus diikuti oleh syarikat tersenarai swasta.

Menurutnya, mereka seharusnya menerima gaji asas berdasarkan kepada prestasi masing-masing di mana mereka tidak dibayar elaun atau insentif atau dipecat, jika tidak mencapai tahap keuntungan yang ditetapkan.

"Rakyat Malaysia tidak menyenanginya bila pengarah syarikat mendapat gaji besar sedangkan syarikat mereka mengalami kerugian," katanya dalam satu sidang akhbar mengenai laporan kewangan terbaru mengenai gaji yang diterima oleh pengarah GLC dan syarikat tersenarai.

Menurutnya, kerajaan patut memastikan, walaupun syarikat tidak mengalami kerugian, tetapi bayaran gaji mesti dijustifikasikan.

Ganjaran ikut prestasi

"Ia patut berdasar kepada kadar peratusan minima pulangan bagi modal, dan bukan sekadar berdasarkan kepada keuntungan semata-mata," katanya.

Beliau menyandarkan hujahnya kepada laporan baru-baru ini dalam majalah Malaysian Business yang menyenaraikan pendapatan pengarah pelbagai syarikat dan GLC.

"GLC menyumbang RM260 juta, atau 36 peratus pasaran modal Malaysia dan menggaji lima peratus tenaga kerjanya. Ia member mesej yang salah kepada syarikat swasta apabila memberi ganjaran besar kepada eksekutifnya yang tidak berprestasi," kata Lim.

"Mereka sepatutnya menerima gaji asas dan selebihnya, dibayar mengikut pendapatan syarikat berdasarkan kepada kadar pulangan ke atas modal," katanya.

Dalam tahun 2004, katanya, para pengarah Tenaga Nasional Berhad dibayar RM1.6 juta walaupun mencatat pulangan modal yang terendah di kalangan syarikat janakuasa di rantau ini.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa bekas Pengarah Urusan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Datuk Ahmad Fuaad Mohd Dahalan, yang meletakkan jawatan Isnin lalu, dibayar hampi rRM900,000 manakala lembaga pengarahnya dibayar RM1.5 juta tahun lalu. Syarikat penerbangan itu mengalami kerugain RM281 juta bagi suku tahun pertama 2005.

Sementara itu, Telekom Malaysia mencatatkan keuntungan bersih tertinggi pada 2004 berjumlah RM2.6 bilian. Ia membayar ketua eksekutifnya hampir RM800,000 dan RM2.7 juta(10 peratus keuntungan) kepada lembaga pengarahnya.