Ketua ARMADA Kelantan disaman CEO PKINK
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (ARMADA BERSATU) Kelantan, Asran Alias, berdepan saman fitnah difailkan pegawai kanan anak syarikat kerajaan negeri di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail, mendakwa Asran memfitnahnya sebagai melobi untuk menjadi calon pilihan raya melalui satu tulisan di Facebook pada 8 Jun lalu.
Selain itu, tulisan Asran juga didakwa memfitnah bekas calon PKR Parlimen Ketereh itu sebagai menyalahgunakan dana kerajaan untuk membayar tiket penerbangan isteri beliau ke luar negara.
Pengarah Undang-Undang Pakatan Harapan Kelantan, Hisham Fauzi yang mewakili Asran berkata, sebutan kes hari ini dilakukan hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Wan Nor Aklima Wan Salleh.
"Saman fitnah ini berkait satu posting Facebook yang telah dibuat Asran pada 8 Jun 2017 yang dikatakan Wan Zawawi sebagai memfitnah beliau.
"Wan Zawawi melalui penyata tuntutannya mendakwa posting Asran tersebut telah memfitnah beliau melobi untuk menjadi calon pilihan raya dan juga menyalahgunakan dana kerajaan untuk membayar tiket penerbangan isteri beliau ke luar negara," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun dalam kenyataan pembelaannya Asran menafikan bahawa tulisan tersebut dibuat dengan niat memfitnah.
Katanya segala yang dinyatakan itu ialah berasaskan kepada fakta, berjustifikasi dan merupakan komen berpatutan (fair comment).
"Mahkamah pada hari ini mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan ikatan pliding dan ikatan dokumen masing-masing dan tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 1 November depan," kata Hisham.
Wan Zawawi yang pernah bertanding sebagai calon PKR di Parlimen Machang pada pilihan raya umum yang lalu tewas kepada wakil BN, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dengan majoriti 805 undi.
Beliau diwakili peguam dari Tetuan Afifah, Wan & Aimi Shazwani.
Malaysiakini sedang menghubunginya untuk respon lanjut mengenai kes tersebut.

