Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Lawatan perdana menteri ke Rumah Putih baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan apabila butiran pelaburan yang dirancang oleh negara di Amerika Syarikat diketahui umum.

Mengapa negara membangun seperti Malaysia mahu melabur untuk membantu mengukuhkan ekonomi negara maju seperti Amerika Syarikat?

Pelaburan ini bukan duit kerajaan. Sebaliknya pelaburan yang dirancang itu daripada syarikat-syarikat yang dimiliki kerajaan.

Matlamat syarikat ini adalah untuk mendapat pulangan yang terbaik dengan risiko yang rendah.

Pelaburan ini bukan untuk membantu mengukuhkan ekonomi Amerika tetapi hasilnya ini boleh membantu mengukuhkan ekonomi negara tersebut.

Membantu mengukuhkan dan boleh membantu mengukuhkan adalah dua benda yang berbeza.

Tambahan pula, setiap pelaburan luar ke dalam satu-satu negara perlu mendapat kelulusan kerajaan negara tersebut.

Kebenaran ini biasanya tidak hanya bersandarkan faktor ekonomi sahaja. Kesan sosial, alam sekitar dan juga politik selalunya turut di ambil kira.

Mengapa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melabur dalam projek infrastruktur di Amerika Syarikat, sedangkan di Malaysia sendiri masih ada projek infrastruktur yang memerlukan pelaburan?

KWSP bukan duit kerajaan. KWSP adalah duit pencarum. Tanggungjawab KWSP adalah menjana pulangan terbaik untuk pencarumnya.

Berdasarkan penelitian inilah KWSP menentukan ke mana ia mahu melabur bagi menjamin pulangan baik dan supaya KWSP dapat membayar dividen lebih tinggi kepada lebih 14.7 juta pencarumnya.

KWSP sudah melabur di Amerika Syarikat sejak 2008 dan pelaburan KWSP di luar negara membawa pulangan yang lebih baik dari sesetengah pelaburan dalam negara.

Pada waktu yang sama KWSP perlu mempelbagaikan pelaburan mereka untuk mengurangkan risiko keseluruhannya.

Mengapa Malaysia Airlines (MAS) membeli kapal terbang sedangkan syarikat itu masih belum mencatat keuntungan?

Umum tahu, keputusan membeli pesawat baru bukan seperti urusan di kedai runcit. Bukan pergi kedai pagi ini, terus bawa balik sebelum tengah hari.

Pesawat-pesawat baharu perlu ditempah dan ada ‘waiting list’. Ia memakan masa beberapa tahun untuk menerima pesawat tersebut.

Urusan tempahan pesawat dibuat berdasarkan perancangan perniagaan yang antaranya mengambil kira faktor perancangan laluan serta ramalan jumlah penumpang di masa hadapan.

Adakalanya juga tempahan dibuat bukan berdasarkan keperluan sebenar tetapi berdasarkan ramalan keperluan pesawat di masa hadapan.

Ini adalah keputusan perniagaan.

Contohnya pada tahun 2016, syarikat penerbangan AirAsia membuat tempahan 100 buah pesawat Airbus A321neo.

Buat masa ini, eksport Malaysia ke Amerika Syarikat melebihi import Malaysia dari negara tersebut.

Lebih dagangan ini berjumlah RM25 bilion. Pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat sebelum ini pula adalah berjumlah AS$16 bilion.

Antaranya dalam ekuiti, syarikat berteknologi tinggi, sektor pengeluaran dan hospital.

Pelaburan luar negara syarikat-syarikat dari Malaysia, termasuklah syarikat berkaitan kerajaan adalah berjumlah RM570 bilion berbanding pelaburan asing di Malaysia yang berjumlah RM550 bilion.


SYED AZIDI SYED ABDUL AZIZ adalah perunding kreatif dan penulis politik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS