Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dalam usaha Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menggambarkan cubaan rampasan kuasa oleh BN di Selangor sebagai tindakan tidak demokratik, seorang menteri Umno mengingatkan timbalan presiden PKR itu mengenai tindakan lampaunya.

Secara khusus, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga adalah pengarah komunikasi strategik BN berkata, Azmin tidak boleh menafikan peranannya dalam cubaan rampasan kuasa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 September 2008 yang gagal menjadi kenyataan.

"Azmin tidak boleh nafikan bahawa beliau adalah antara mereka yang cuba merampas kuasa pada 16 Sept 2008 yang diketuai oleh bosnya, Anwar tetapi gagal," kata Rahman kepada Malaysiakini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengulas kenyataan Azmin dalam The Malaysian Insight, yang mendesak Najib supaya menghormati demokrasi di sebalik spekulasi bahawa Umno cuba menggulingkan kerajaan Selangor yang diterajui oleh PKR.

Pada tahun 2008, Anwar mendakwa pada 16 Sept tahun itu, pembangkang akan membentuk kerajaan persekutuan baru melalui sokongan sebilangan ahli-ahli parlimen BN yang akan berpaling tadah.

Rancangan itu tidak menjadi kenyataan, walaupun ini menyaksikan BN tergesa-gesa menyekat ahli parlimennya daripada melompat parti.

Kabel kedutaan Amerika Syarikat yang dibocorkan pada tahun 2011 memetik Azmin sebagai berkata rampasan kuasa itu harus berlaku pada bulan Mei 2008, untuk mengelakkan sebarang "manipulasi" oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menjelang sebuah pilihan raya kecil bagi membolehkan Anwar membuat kemunculan semula di parlimen.

Azmin dilaporkan berkata adalah lebih baik bagi pembangkang membawa masuk ahli parlimen BN yang berpaling tadah dan membentuk kerajaan sementara, sebelum pilihan raya kecil itu.

Spekulasi rampasan kuasa BN di Selangor muncul selepas Najib mengadakan sidang akhbar khas yang digembar-gemburkan pada Ahad lalu.

Sidang akhbar itu bertukar menjadi anti-klimaks apabila Najib hanya mengumumkan kepulangan bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke pangkuan Umno.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa Najib sepatutnya mengumumkan lebih ramai lagi wakil rakyat yang akan berpaling tadah bagi membolehkannya menggulingkan kerajaan negeri Selangor.

Lihat Komen
ADS