Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mustafa Akyol ditahan kerana gagal hadir bantu siasatan
Diterbitkan:  Sep 26, 2017 5:14 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Mustafa Akyol ditahan kerana gagal hadir mahkamah untuk membantu siasatan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Abdul Aziz Jusoh.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Abdul Aziz menjelaskan surat perintah hadir mahkamah telah diserahkan kepada ahli akademik Turki itu pada 24 September untuk membantu siasatan di JAWI pada 25 September namun beliau gagal hadir.

“Oleh kerana kegagalan beliau untuk hadir memberikan keterangan pada tarikh yang dikehendaki, maka JAWI telah memohon kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas beliau,” katanya.

Semalam Mustafa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dibawa ke JAWI untuk dirakam keterangan. Beliau disiasat di bawah sksyen 28(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

Mustafa dibebaskan pada tengah hari tadi tengah hari tadi setelah pihak JAWI melengkapkan siasatan.

Dalam kenyataan sama JAWI menjelaskan Islamic Renaissance Front (IRF) selaku penganjur program tidak memaklumkan kepada Mustafa keperluan mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama. 

JAWI menasihatkan kepada mana-mana penganjur supaya memastikan para penceramah yang diundang untuk menyampaikan apa jua bentuk ceramah berkaitan agama Islam mempunyai tauliah mengajar seperti yang dikehendaki undang-undang Malaysia.

Sehubungan itu, Pengerusi Research for Social Advancement (REFSA) dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong menyatakan kebimbangan atas penahanan wartawan dan penulis Turki itu. 

"Nama Malaysia tercalar apabila kerajaan menahan penulis terkenal yang dijemput secara hormat untuk berkongsi pandangan tentang demokrasi, kebebasan, dan keamanan," katanya.

Mustafa turut menjadi panelis dalam dialog anjuran REFSA bertajuk "Adakah Demokrasi Masih Relevan?" di Kuala Lumpur Pada 24 September.

"Penahanan beliau (Mustafa) membuktikan Malaysia mempunyai sebuah kerajaan "illiberal", sentimen sama yang sering disuarakan Mustafa dalam tulisannya yang digambarkan sebagai sebuah sistem di mana pilihan raya diadakan namun kebebasan umum seperti kebebasan bersuara disekat," kata Liew.

Mustafa merupakan kolumnis untuk media antarabangsa dan tulisan beliau disiarkan antaranya di New York Times, Washington Post dan UK Guardian.

Lihat Komen
ADS