Paling Popular
Terkini

SPRM telah menahan seorang setiausaha politik kepada seorang menteri persekutuan selepas kenyataannya dirakamkan di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya hari ini.

Suspek berusia 61 tahun itu dengan gelaran "Datuk" dipercayai adalah anggota SUPP. Beliau dikatakan telah berkhidmat sebagai pembantu menteri sejak 1 Jun 2013.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengesahkan tahanan itu semasa beliau menghadiri satu program anti-rasuah di Bertam, Pulau Pinang.

"Ada tahanan besar di Putrajaya hari ini," katanya pada sidang akhbar.

Dzulkifli berkata penahanan itu dilakukan pada jam 12.30 tengah hari di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM atas dakwaan menerima suapan melibatkan RM40 juta daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian itu.

Kes itu berkaitan dengan penangkapan empat individu termasuk Ketua Pemuda Umno Bagan Datuk, Perak, yang adalah ketua pegawai eksekutif GLC tersebut.

Menurut sumber SPRM, mereka yang ditangkap termasuk seorang 'Datuk' yang berusia 58 tahun, seorang setiausaha korporat, 34, seorang pembantu pembantu kewangan, 32 dan seorang pengarah syarikat, 38.

Dana berkenaan dikatakan bertujuan untuk disalurkan kepada sebuah syarikat yang terlibat dalam program latihan kemahiran.

Malaysiakini telah menghubungi menteri berkenaan untuk mendapatkan ulasan dan sedang menunggu jawapannya.

Sementara itu, Dzulkifli juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan ditahan berhubung kes tersebut.

Ditanya mengenai perkara itu, beliau menjawab, "Tunggu dan lihat."

Katanya, setiausaha politik itu akan dibawa ke mahkamah di Putrajaya esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

Lihat Komen
ADS