Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Politik pada akhirnya adalah nombor. Setiap nombor boleh dibuat kira-kira. Dengan kira-kira itu, kita boleh memahami apakah yang kurang untuk ditambah baik bagi mencukupkan bilangan dan membentuk kerajaan.

Selepas pilihan raya umum (PRU) lalu, daripada 89 parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat, 37 adalah wakil rakyat Melayu. Daripada 37 kerusi Melayu itu pula, 21 adalah milik PAS.

Selebihnya adalah wakil rakyat bukan Melayu, sama ada PKR atau DAP.

Maknanya, selain PKR dan DAP yang tak cukup diterima pengundi Melayu, gabungan parti pembangkang secara keseluruhannya masih gagal menang di kawasan kerusi Melayu.

Bandingkan di pihak BN: daripada 133 yang dimenangi, 112 adalah kerusi Melayu-Bumiputera dengan 87 daripadanya kerusi Umno.

Angka 87 itu pun selepas ditolak Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Samporna (Datuk Seri Shefie Apdal) yang tercampak keluar dari Umno.

Tanpa kerusi Melayu yang mencukupi, sampai kiamat pun gabungan pembangkang tidak akan berjaya ke Putrajaya. Lebih sukar apabila kini PAS berada di luar Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ada bersama PAS, 25 kerusi - sebelum enam daripadanya menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH). Bakinya masih ada 19. Kini HARAPAN hanya mempunyai 69 kerusi parlimen.

Situasi sangat sukar

Ketiadaan PAS menjadikan bilangan wakil rakyat Melayu dalam HARAPAN menjadi semakin kecil iaitu 17 orang saja selepas ditolak kerusi Bandar Tun Razak apabila wakil rakyatnya, Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi wakil bebas.

Bagi membentuk kerajaan baru di Putrajaya - daripada 222 kerusi parlimen - HARAPAN perlu memenangi minumum 112 kerusi.

Kalau kesemua 69 kerusi parlimen itu dapat dipertahankan seperti sekarang, HARAPAN masih kekurangan 43 kerusi lagi untuk memiliki kelebihan satu majoriti berbanding BN.

Kalau PAS ada bersama, cabaran tersebut menjadi lebih mudah. PAS yang mempunyai 25 kerusi menjadikan kekurangan yang perlu dicari ialah 24 sahaja.

Dengan perkiraan mudah, setiap parti perlu menambah beberapa kerusi lagi selain mengharapkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyumbang antara 15 hingga 20 kerusi.

Tumpuan BERSATU ialah kerusi 87 kerusi yang kini milik Umno.

Memang masih munasabah untuk mengambil antara 15 hingga 20 kerusi daripada Umno, tetapi kalau 43 kerusi lagi - selepas ditolak kedudukan semasa PAS - secara realitinya ia sangat-sangat-sangat sukar.

PAS nampaknya mustahil berpatah balik untuk menyertai HARAPAN. Oleh itu, persoalan pokok ialah, dari manakah sekurang-kurangnya 43 kerusi itu boleh diperolehi?

Sekiranya disapu bersih kesemua kerusi baki milik MCA, MIC atau Gerakan pun, tetap tidak cukup untuk mendirikan kerajaan baru tanpa merampas separuh kerusi yang dimenang Umno sekarang.

Realiti ini sewajarnya menunjukkan sejelas-jelasnya kepada HARAPAN betapa relevennya kerusi majoriti Melayu yang masih dikuasai Umno. Maka, persoalan yang timbul ialah, apakah politik HARAPAN sudah cukup mendekati dan meyakinkan orang Melayu?

Naik turun tetap berlaku

Kita pernah mendengar kononnya akan berlakunya “tsunami Melayu” dalam PRU akan datang. Keyakinan sahaja tak cukup, tanpa kesedaran terhadap apa yang perlu dilakukan.

Orang Melayu umumnya sedang melihat dan menilai, apakah perjuangan HARAPAN akan menguntungkan mereka?

Ada beberapa petunjuk yang membuktikan isu seperti skandal 1MDB tidak berkesan di peringkat bawah, khususnya kepada orang Melayu.

Mungkin ramai juga yang mengejek-ejek bahawa orang Melayu tak reti dan tak ambil berat soal ekonomi. Justeru kerana itulah kononnya mereka tidak menyokong gabungan pembangkang dalam beberapa PRU lalu.

Kenyataan begitu hanyalah tanggapan usang. Tak releven lagi sekarang. Tanggapan itu juga tidak lebih daripada untuk menyedapkan hati pemimpin dan penyokong parti pembangkang yang gagal memahami hati nurani masyarakat Melayu.

Saya percaya orang Melayu bukanlah terlalu bodoh untuk membuat kira-kira. Mereka tetap mempunyai pertimbangan tersendiri, termasuk dalam soal ekonomi.

“Ekonomi” yang diterima oleh orang Melayu bukan sahaja turun naik harga minyak setiap Rabu. Ekonomi yang difahami orang Melayu perlulah berkait langsung dengan kepentingan bangsanya.

Turun naik minyak - kalau kerajaan mana pun yang memerintah - tetap akan berlaku. Kalau tidak minggu ini, minggu depan. Kalau tidak bulan ini, bulan depan. Itu saja.

Namun kelangsungan yang lebih besar daripada skandal 1MDB, cukai baranan dan pekhidmatan atau naik turun harga minyak ialah kepentingan ekonomi Melayu secara keseluruhan.

Misalnya ada banyak agensi yang berpaksikan kepentingan Melayu perlu dijamin selamat dan terus diperkukuh di bawah HARAPAN.

Rendah tak tentu bicara

Walaupun dikatakan wujud kerugian dalam Felda atau Tabung Haji misalnya, perkiraan mata orang Melayu mudah - kerugian walau sebesar mana pun boleh ditampung.

Apa yang mereka tidak boleh terima ialah jika peranan agensi untuk menjaga kepentingan Melayu itu terhakis kelak.

Lebih membimbangkan ialah HARAPAN tidak pernah membicarakan secara terbuka dan jelas akan kepentingan Melayu, khususnya kelas bawahan seperti petani, nelayan dan pekerja biasa.

Soal pendidikan bangsa Melayu seperti peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga jarang sekali dibicarakan.

Mengumpan sentimen dengan menambah peruntukan untuk kepentingan hal ehwal Islam seperti yang selalu dibanggakan oleh kerajaan Pulau Pinang tidak memadai.

Jumlah RM3 juta hingga RM4 juta setahun sekali pun bukanlah terlalu besar bagi memancing perhatian dan pengundi Melayu. DAP juga dilihat tak bersedia untuk mengangkat ketua menteri Melayu di Pulau Pinang sebagai usaha mengambalikan keseimbangan kaum di negeri itu.

Keadaan ini jauh berbeza seperti yang pernah dilakukan perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Kemenangan besar BN dalam PRU selepas peristiwa 13 Mei 1969 ialah kerana Abdul Razak memberi tumpuan khusus kepada ekonomi kelas bawah yang akhirnya dapat mengangkat martabat bangsa Melayu.

Hanya dengan cara itu, keadilan sosial sebagai teras kekuatan negara dapat dikembalikan. Bukan dengan merendah-rendahkan bangsa mana pun secara tidak tentu bicara.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS