Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu yakin beliau boleh menang di mana-mana saja kerusi yang diserahkan kepadanya pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Kata Mohamad, keyakinan itu termasuk bagi kerusi kerusi di Kelantan dan Pekan, Pahang.

“Saya rasa ada peluang menang di mana-mana saja, termasuk di Kelantan dan Pekan,” katanya semasa menghadiri sidang media di Ibu Pejabat AMANAH, di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini pemimpin kanan AMANAH sudah menyatakan keinginan mereka menurunkan Mohamad sebagai salah seorang calon mereka.

AMANAH Selangor pernah mengumumkannya secara terbuka ketika konvensyen mereka di Ampang pada 10 Sept lalu.

Hari ini Malaysiakini pula melaporkan nama Mohamad akan diletakkan di parlimen Kota Raja dan kerusi dewan undangan negeri Taman Templer - kedua-duanya di Selangor.

Kota Raja kini diwakili Ketua Wanita AMANAH Dr Siti Mariah Mahmud, manakala Taman Templer dimenangi PAS melalui Mohd Zaidy Abdul Talib.

Mohd Zaidy yang kini menjadi exco Selangor mengalahkan Datuk Subahan Kamal (BN) dan Roslan Basaruddin (Bebas) dengan majoriti 7,467 undi.

Pekan pula diwakili Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu atau Bang Mat menegaskan apa pun pendirian yang akan diambil, ia bergantung kepada keputusan parti.

Umno yang takut

Keadaan itu berlaku, katanya, kerana banyak pihak menyarankan namanya bertanding di pelbagai kerusi.

Selain Selangor, kata Mohamad, namanya juga dicadangkan bertanding di Kedah dan Pulau Pinang.

“Oleh sebab itu parti akan menilai di mana kesesuaian saya selaku presiden untuk bertanding atau tidak, dan saya akan patuh kepada keputusan parti," katanya.

Bagaimanapun kenyataan itu kemudian disambut Pengarah Pilihan Raya AMANAH Dr Hatta Ramli.

“Kami akan pastikan presiden kami bertanding,” katanya.

Untuk rekod Mohamad, 62, bukanlah asing di Dewan Rakyat. Selepas gagal beberapa kali dalam percubaannya melalui pilihan raya - termasuk berdepan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh pada 1986 - beliau menjadi anggota parlimen (MP) Nilam Puri, Kelantan pada 1990.

Pada PRU kesembilan lima tahun kemudian beliau kekal menjadi MP untuk Kubang Kerian - nama dan sempadan baru untuk Nilam Puri.

Pada 1999 (PRU ke-10) Mohamad memenangi kerusi Kuala Kedah tetapi gagal mempertahankan kawasan itu pada 2004. Antara lain disebabkan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pada PRU ke-12 (2008) Mohamad - ketika itu bersama PAS - bertanding di Kuala Terengganu tetapi kalah dengan majoriti 628 undi kepada Datuk Razali Ismail serta Maimunah Yusuf.

PRU lalu Mohamad bertanding di Pendang pula tetapi sekali lagi digagalkan BN, kali ini oleh Datuk Othman Abdul.

Sementara itu, mengulas dakwaan Umno bahawa beliau tidak sesuai dengan budaya orang Selangor, Mohamad berkata ia bukan isu sebenar, sebaliknya menganggap parti terbabit kini takut kepada mereka.

“Umno takut. Kebanyakan pemimpin yang ada Selangor sekarang pun orang luar, macam Dr Siti Mariah orang Kedah, Khalid Samad asal dari Johor," katanya.