SUPP tak desak Riot bercuti
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak akan memaksa timbalan presiden mereka Datuk Seri Richard Riot Jaem untuk bercuti selepas beliau disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam.
Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian, berkata ini Riot yang juga Menteri Sumber Manusia belum terbukti bersalah dan masih dalam siasatan.
"SPRM masih menyiasat. Sekiranya terbukti bersalah, kita pasti akan mengambil tindakan.
"Beliau tidak didapati bersalah dan tidak dikenakan tindakan, (jika diarah bercuti) saya mungkin menghukum orang yang salah," kata Sim hari ini di ibu pejabat SUPP di Kuching, Sarawak, dan dipetik Borneo Post.
Sim berkata demikian bagi mengulas seruan DAP yang menyeru Riot supaya bercuti daripada tugasnya untuk sementara kerana disiasat SPRM.
Agensi antirasuah itu mengambil keterangan daripada Riot dipercayai bagi membantu siasatan terhadap dakwaan kes penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Pengerusi cawangan DAP di Serian, Edward Andrew Luwak berkata Riot, 65, wajar bercuti kerana setiausaha politik beliau juga disiasat atas kehilangan dana itu.
Setiausaha politik Richard yang berusia 61 tahun dan merupakan pesara tentera, ditahan reman enam hari.
Dia ditahan Rabu lalu pada jam 12.30 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas memberi keterangan.
Riot dipanggil untuk memberi kenyataannya semalam dan menghabiskan masa kira-kira 10 jam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Mengulas lanjut, Sim berkata gesaan DAP itu adalah sikap talam dua muka pembangkang.
Katanya DAP tidak meminta pemimpin mereka bercuti walaupun disiasat atau didakwa oleh pihak berkuasa di mahkamah.
"Itulah double standard. Apabila mereka sendiri disiasat atau dipenjara di mahkamah, mereka akan mengatakan ia bermotifkan politik dan tidak akan meminta orang itu mengambil cuti daripada jawatannya," kata Richard.

