Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
413,000 penduduk M'sia ada masalah penglihatan
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 4:49 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Banci Mata Kebangsaan II 2014 mendapati 413,000 penduduk di negara ini yang berumur 50 tahun ke atas mempunyai masalah penglihatan, kata Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 113,000 orang menjadi buta dengan 43,000 daripadanya dikenal pasti berpunca daripada katarak.

“Turut dianggarkan sejumlah 1.3 juta rakyat Malaysia yang berusia 50 tahun ke atas akan mengalami katarak dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang,” katanya pada majlis pelancaran Sambutan Hari Penglihatan Sedunia peringkat kebangsaan 2017 di Seremban hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainuddin Mohd Ali dan Ketua Perkhidmatan Oftalmologi kementerian berkenaan, Dr Fariza Che Ngah.

Dr Azman berkata laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010 turut menyatakan bahawa dianggarkan 250 juta orang di seluruh dunia mempunyai masalah hilang penglihatan dan buta.

Beliau berkata berikutan daripada penemuan kajian dan tinjauan penduduk yang dilaksanakan pada 2014, beberapa inisiatif pencegahan kebutaan telah dan sedang dijalankan kementerian.

“Program Klinik Katarak 1Malaysia telah dilancarkan secara berperingkat di seluruh negara bermula dari 2013. Ia bertujuan untuk menyediakan akses rawatan dan penjagaan mata terutamanya kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Program yang menitikberatkan penglibatan komuniti dan badan-badan bukan kerajaan ini telah berjaya dan sehingga Jun 2017, seramai 22,401 penduduk disaring dan daripada jumlah itu, 16,348 orang telah pun menjalani pembedahan katarak,” katanya.

Dr Azman menarik perhatian bahawa Bank Kanta Intraokular Kebangsaan turut dilancarkan sebagai usaha memberi sokongan kepada inisiatif pencegahan kebutaan dan 9,523 penduduk yang kurang berkemampuan telah menerima bantuan kanta intraokular secara percuma.

“Selain itu, program ‘Amblyopia and Visual Impairment Screening (AVIS)’ juga dilancarkan pada tahun ini untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan sebelum mereka memulakan alam persekolahan,” katanya.

Menerusi program AVIS, beliau berkata kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan boleh dirawat secara awal untuk mencegah daripada berlakunya juling.

Dalam pada itu, beliau berkata penerapan pemahaman mengenai masalah penglihatan perlu terus dipertingkatkan sama ada di peringkat kerajaan mahupun swasta supaya tindakan pencegahan masalah penglihatan dapat dilakukan lebih awal.

Selain itu, Dr Azman berkata sikap untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala dalam kalangan masyarakat di negara ini perlulah dijadikan amalan.

“Secara umumnya, setiap individu dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau swasta sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali dan sebarang simptom masalah penglihatan harus diutarakan.

“Mereka yang berumur 50 tahun ke atas pula digalakkan melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun manakala golongan yang berisiko tinggi seperti penghidap diabetes disarankan lebih kerap membuat pemeriksaan doktor,” katanya.

Beliau berkata masyarakat juga digalakkan melakukan pemeriksaan awal untuk mengesan retinopati diabetik dan katarak kerana ia langkah penting yang dapat membantu meningkatkan peluang daripada mendapat masalah hilang penglihatan dan kebutaan.

“Satu mesej penting ialah cegah kebutaan, kesan awal dan dapatkan rawatan segera,” katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS