Paling Popular
Terkini

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar yakin Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mampu pergi jauh dalam arena politik.

Ini kerana, menurutnya, Jamal mampu membuat gimik dan aksi kontroversi dalam menyerang pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Bercakap dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini baru-baru ini, Abu Hassan berkata ketua gerakan Baju Merah itu juga seorang yang dinamik.

Menurut Abu Hassan pandangannya itu berdasarkan prestasi Jamal sewaktu pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar baru-baru ini.

"Dia pemimpin akar umbi yang bagus. Dia ada sokongan sebab dia pandai buat gimik, sama ada dia diterima orang ramai atau tidak itu terpulang.

"Dia boleh pergi jauh, dia pemimpin yang ada dinamik. Dia boleh kawal bahagian dan sebab itu kita menang PRK Sungai Besar," kata Abu Hassan di pejabat Gerakan Mubarak Selangor, Shah Alam.

Bagaimanapun, kata Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Selangor itu, ada masanya aksi gimik Jamal agak berlebihan.

“Sejujurnya, aksi-aksi Jamal itu kita tak perlukan. Tapi dia ada cara sendiri, jadi terpulang kepadanya.

“Sama ada ia memberi manfaat kepada BN atau tidak, saya tak boleh nak cakap, biar orang ramai tentukan,” kata Abu Hassan

Jamal dijangka tampil dengan gimik terbaru apabila memutuskan akan menjual ikan di himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi yang dijadual berlangsung di Padang Timur Petaling Jaya hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain sebelum ini memberi amaran akan menghalau Jamal jika dia berdegil membuka gerainya di himpunan itu namun tidak diendahkan malah mengancam untuk memandikan Mohd Azizi dengan air ikan gerainya.

Untuk rekod Jamal bersama kumpulan Baju Merah memang sinonim dengan aksi protes yang menarik perhatian orang ramai.

Misalnya suatu ketika dulu dia bertuala ketika cuba berkunjung ke pejabat Azmin di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk menumpang mandi.

Jamal juga pernah mengadakan protes menggunakan van jenazah untuk mengecam kerajaan Selangor.

Tawan kembali Selangor

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang kepimpinan Ketua Perhubungan Umno Selangor, Abu Hassan mahu Tan Sri Noh Omar (gambar) bertindak lebih berani dalam menentukan masa depan BN dan politiknya.

“Dia perlu tentukan apa yang perlu untuk masa depan BN.

“Noh dah jadi anggota parlimen ini lama, jadi sekarang ini dia sebagai ketua dalam Selangor yang BN dah lantik sebagai pengerusi perhubungan Selangor selain menjadi menteri.

"Mungkin orang lain fikir belum taraf dia sebab dikira junior dalam politik. Tapi Noh sekarang perlu jadi lebih berani dalam tentukan sama ada akan ketuai Selangor dalam pilihan raya akan datang atau pun terpulang kepada dia lah untuk tentukan masa depan dia,” kata Abu Hassan.

Tambah Abu Hassan, BN Selangor kini sangat memerlukan kepimpinan yang kukuh dalam usaha menawan kembali negeri termaju di Malaysia itu.

"Kita memerlukan ketua yang sudah established, PM (perdana menteri) juga sudah tunjuk...maknanya apa guna PM lantik dia sebagai ketua perhubungan BN kalau PM tak ada perancangan kepada dia?

“Ini jelas pada rakyat biasa, jelas pada saya sebagai pemimpin MUBARAK dan rakan-rakan saya. He is better things, terpulanglah kepada dia, sebab itu saya kata kena berani,” tambah Abu Hassan.

 

Lihat Komen
ADS