Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pesan Dari Tuhan hasil karya Erma Fatima menepati ramalan mengungguli malam Anugerah Skrin (ASK) 2017 apabila diangkat sebagai Drama Terbaik, dalam acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra sebentar tadi.

Naskhah terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd itu turut membolot tiga lagi anugerah, iaitu Pengarah Terbaik Drama (Erma Fatima), Lakon TV Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Remy Ishak).

Pesan Dari Tuhan bersaing sengit dan berjaya mengatasi drama yang tidak kurang hebat, antaranya Terima Kasih Ramadan dan Kapcai Ayah.

Pelakon Kapcai Ayah, Hasnul Rahmat dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Pelakon versatil itu sebelum ini pernah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pada ASK 2013.

Pelakon Wanita Terbaik Drama pula menjadi milik Fasha Sandha (gambar) menerusi Terima Kasih Ramadan terbitan ZK Creative Sdn Bhd.

Ia menjadi anugerah kesembilan milik aktres itu sepanjang bergelar anak seni.

Sementara itu, pelakon veteran Azizah Mahzan membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Terima Kasih Ramadan.

Untuk filem pula, Hanyut arahan Uwei Saari yang mengambil masa tujuh tahun untuk ditayangkan diangkat sebagai filem terbaik.

Adaptasi daripada novel Joseph Conrad, Almayer's Folley itu boleh pulang dengan penuh bangga, apabila turut menang dalam 4 lagi kategori, iaitu Pengarah Terbaik (Uwei Saari), Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Diana Danielle) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Khalid Salleh).

Bagi kategori Lelaki Terbaik Filem, lakonan Khir Rahman dalam Rock Bro berjaya mengalahkan nama-nama berbakat lain seperti Zahiril Adzim (Pekak) dan Adi Putra (Interchange).

Pelakon Sangeetha Krishnasamy (gambar) pula muncul sebagai Pelakon wanita Terbaik Filem menerusi Adiwiraku. Ini merupakan kemenangan ketiganya dalam kategori itu selepas Festival Filem Malaysia ke-29 dan Anugerah Pengkritik Filem 2017.

Berikut adalah penuh pemenang ASK 2017:

Drama

  • Drama Terbaik - Pesan Dari Tuhan
  • Pengarah Terbaik Drama - Erma Fatima (Pesan Dari Tuhan)
  • Lakon TV Terbaik - Pesan Dari Tuhan
  • Pelakon Lelaki Terbaik Drama - Hasnul Rahmat (Kapcai Ayah, TV9)
  • Pelakon Wanita Terbaik Drama - Fasha Sandha (Terima Kasih Ramadan, TV3)
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama - Remy Ishak (Pesan Dari Tuhan)
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama - Azizah Mahzan (Terima Kasih Ramadan)
  • Drama Rantaian Terbaik - My Sweet Lavender
  • Pelakon Komedi Terbaik - Ellie Suriaty (Papa Sayang)
  • Drama komedi Terbaik - Budak Ijat (Radius One Sdn Bhd, TV3)
  • Rancangan Majalah Terbaik - Misi-K 2016 - Misi Kemanusiaan Pulau Cebu Filipina (TV3)
  • Rancangan Realiti Terbaik - Mentor Milenia 2017 Akhir (TV3)
  • Rancangan Anugerah Terbaik - Anugerah Juara Lagu 31 (TV3)

Filem

  • Filem Terbaik - Hanyut
  • Lakon Layar Terbaik - Hanyut (U-Wei Saari)
  • Pengarah Terbaik Filem - U-Wei Saari (Hanyut)
  • Pelakon Wanita Terbaik Filem - Sangeetha Krishnasamy (Adiwiraku)
  • Pelakon Lelaki Terbaik Filem - Khir Rahman (Rock Bro)
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem - Khalid Salleh (Hanyut)
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem - Diana Danielle (Hanyut)

 

Lihat Komen
ADS