Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapa 'mangsa' KBAT - Kementerian, pelajar atau guru?

ULASAN Penerapan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam sistem pendidikan awal Malaysia diharapkan dapat menambah baik produk yang dilahirkan sekolah-sekolah.

Apa yang kita inginkan, agar para guru dan pelajar kita dapat berubah - daripada pendekatan berasaskan penghafalan teori dan konsep semata-mata, kepada proses pembelajaran yang berlandaskan pemikiran terbuka, kritis dan penuh aplikasi.

Namun naratif yang dicanang oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan mempamerkan kegusaran kementerian bahawa guru-guru kita masih belum bersedia sepenuhnya untuk sistem pendidikan berasaskan KBAT.

Apa lagi yang boleh kita banggakan, jika sejumlah 169 daripada 282 sekolah yang dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (bersamaan 60%), hanya mencapai tahap ‘gagal’ atau ‘memuaskan’ hasil pemeriksaan penarafan amalan terbaik KBAT.

Dan perlu kita ingat, jumlah populasi kajian sebanyak 282, hanyalah sekelumit daripada bilangan keseluruhan 10,180 sekolah di Malaysia pada penghujung Julai 2016 !

Sebelum kita sibuk menyalahkan pihak guru tentang statistik ini, adalah wajar jika kita dapat meneliti implementasi sistem KBAT ini.

KBAT mula disebut-sebut apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dibentangkan. Tetapi, langkah Kementerian selepas itu kurang jelas, terutamanya dalam memandu para guru dan pelajar ke arah gaya pemikiran yang baru.

Bukanlah sesuatu yang mudah bagi membiasakan barisan guru yang komited dan anak-anak pelajar yang sudah terlalu terbiasa dengan cara pembelajaran lama. Anjakan yang digesa pihak kementerian adalah terlalu mendadak, dan masih membelenggu tenaga pengajar sehingga hari ini.

Bukankah lebih baik jika pihak kementerian menjalankan kajian segenap negara, sebelum mendesak perubahan pola pembelajaran yang mengejut? Dan adakah tindakan susulan sewajarnya diambil bagi membaik pulih sistem pendidikan yang semakin kucar-kacir?

Akhirnya, guru jugalah yang menjadi kambing hitam atas kekurangan KBAT. Bagi saya, ini adalah cara mudah bagi kementerian melepaskan tanggungjawab pada guru atas kelemahan yang timbul.

Mana tidaknya, tugasan guru yang seharusnya tertumpu pada perkongsian ilmu dengan anak-anak, kian ditokok tambah dengan beban kerja yang berterusan.

Tugas pentadbiran, pengisian laporan dan data atas talian, penganjuran aktiviti sekolah, penyertaan kursus dan latihan yang keterlaluan semakin menekan para pendidik. Sehinggakan tugas hakiki sebagai pengajar yang mencambah minda pelajar tidak dapat dijalankan dengan lancar.

Kerisauan yang dipanjangkan oleh pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) saban tahun tentang beban tugas guru dan polisi pendidikan negara yang kerap berubah, langsung diabaikan kementerian berwajib.

Adakah kementerian lupa, para guru adalah insan paling tepat untuk menilai keberkesanan satu-satu inisiatif pendidikan? Mereka jualah yang bertemu para pelajar setiap hari, ibarat ibu bapa kedua bagi anak-anak yang masih bersekolah.

Oleh itu, saya menyarankan agar pihak kementerian lebih proaktif dalam isu keberkesanan pembelajaran berdasarkan KBAT. Di sebalik tudingan jari yang tidak putus-putus ke arah para guru, dengarilah rintihan mereka tentang kaedah dan cara pelaksanaannya yang mengelirukan dan membebankan.

Latihan dan kursus yang berterusan mungkin tampak ideal pada Timbalan Menteri Pendidikan dan kementerian, namun jangan sekali-kali alpa terhadap kebajikan para pendidik dan kesesuaian inisiatif KBAT terhadap populasi pelajar yang pelbagai.

Di saat kementerian mendokong visi sistem pembelajaran moden seperti kelompok negara dunia pertama, masih ramai yang sengsara dengan akses kepada pendidikan asas seperti membaca dan mengira.

Pandangan saya, para guru perlu dilibatkan sewajibnya di dalam setiap pelan yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan.

Utamakan kualiti pendidikan asas, di samping mengubah gaya pembelajaran baru.

Harus ada fasa-fasa transisi yang jelas dan mudah diikuti, tanpa menambah beban mana-mana pihak.

Dan usahlah sakiti para guru dan pendidik dengan rasa bersalah yang tak putus-putus. Mereka yang patutnya disanjung sebagai wira tauladan, semakin terpalit dengan caci-maki dan ancaman.

Tingkatkan sistem pendidikan kita ke arah kemakmuran berterusan Malaysia, bukan untuk dijadikan mainan politik dan populariti semata.


NURUL IZZAH ANWAR adalah ahli Parlimen Lembah Pantai, naib presiden dan pengarah pilihan raya bersma PKR.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS