Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sidang Kemuncak Asean akan bincang krisis pelarian Rohingya

GLOBAL | Krisis pelarian Rohingya di Myanmar dijangka dibangkitkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang bermula di Manila Ahad ini, dengan kemungkinan ia dibincangkan secara tertutup.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak tiga hari itu, juga amat bimbang dengan apa yang sedang berlaku di negeri Rakhine.

"... dan dalam semua kebarangkalian, ia akan menjadi satu daripada agenda tetapi ia juga bergantung kepada keadaan. Mungkin ada pertemuan secara tertutup, yang boleh menjadi lebih berkesan," katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan sidang-sidang kemuncak berkenaan di sini.

Anifah berkata beliau percaya bahawa bukan sahaja Malaysia malah negara-negara lain seperti rakan dialog ASEAN akan membangkitkan isu itu, yang menyaksikan lebih 600,000 umat Islam Rohingya melarikan diri dari kediaman mereka ke negara jiran Bangladesh sejak 25 Ogos lepas apabila tindakan keras terhadap Rohingya ditingkatkan di negeri Rakhine.

Pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN dan rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada, Kesatuan Eropah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Antonio Guterres akan menghadiri sidang kemuncak penting itu yang dihoskan oleh Filipina.

Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi mengetuai delegasi negara itu ke sidang-sidang kemuncak berkenaan.

Laut China Selatan, Semenanjung Korea

Anifah juga berkata para pemimpin berkenaan akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa mengenai kebimbangan bersama berhubung Laut China Selatan, Semenanjung Korea, menangani keganasan dan ekstremisme ganas serta ekonomi digital siber.

Perhimpunan di Manila itu akan menyaksikan sejumlah 11 sidang kemuncak diadakan dan ia dijangka menerima pakai 56 dokumen hasil perbincangan, kata Anifah sambil memberitahu bahawa ia termasuk Konsensus ASEAN mengenai Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran.

"Instrumen itu digubal sebagai susulan kepada Deklarasi ASEAN mengenai Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran atau Deklarasi Cebu 2007 yang ditandatangani para Pemimpin ASEAN pada 2007," katanya.

Anifah berkata Menteri-menteri Ekonomi ASEAN juga dijangka memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Hong Kong, China (AHKFTA) dan Perjanjian mengenai Pelaburan antara Negara-negara Anggota ASEAN dan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (AHKIA).

Selain itu, sidang kemuncak itu dijangka mengeluarkan kenyataan Pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai pengubahan wang haram dan menangani pembiayaan keganasan, kerjasama dalam pembasmian kemiskinan dan senjata kimia.

Di luar sidang kemuncak itu, Najib dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatan beliau - Shinzo Abe dari Jepun, Lee Hsien Loong dari Singapura dan Le Keqiang dari China.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS