Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Nan minta maaf
Diterbitkan:  Nov 28, 2017 3:17 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memohon maaf atas kenyataannya mengenai penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kata Tengku Adnan beliau berniat baik ketika menyatakan mengenai institusi pengajian tinggi berkenaan namun kata-kata itu digunakan pihak tertentu untuk melaga-lagakan pihaknya dengan UiTM.

"Saya tiada niat merendahkan mana-mana pihak. Jadi saya minta maaflah kalau saya mengguris hati siapa-siapa yang rasa terguris dalam apa yang saya sebutkan," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Sebelum itu Tengku Adnan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM).

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menjadi perhatian ramai apabila dianggap memperlekehkan penuntut UiTM semasa menyampaikan ucapan di PWTC pada 25 Nov lalu.

"Anda dapat masuk universiti, kalau slow learner (boleh) masuk ITM (nama lama untuk UiTM).

"Kadang kala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti,” katanya kepada sekumpulan pelajar semasa menegaskan mengenai sumbangan Umno kepada golongan muda Melayu di negara ini.

Semasa sidang media itu juga Tengku Adnan secara berseloroh mengakui beliau bermulut celupar dan perlu lebih berhati-hati pada masa depan.

Katanya apa yang ingin ditekankan semasa ucapan Sabtu lalu ialah memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai jasa ditaburkan kerajaan BN sejak 60 tahun lalu.

"Jad saya harap sudah-sudahlah, tak usah bising lagi," katanya.

Beliau juga mendakwa menjadi antara individu yang mendapat manfaat daripada ITM.

"Niat saya hanya nak ingatkan kepada anak-anak saya (generasi muda) supaya mereka sedar betapa pentingnya kita kena ada satu kerajaan yang stabil dan satu negara yang bersatu padu," katanya.

Lihat Komen
ADS