Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga forex Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pasukan yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh itu ditubuhkan semalam sejurus laporan polis berhubung perkara berkenaan diterima.

"Kita telah menerima laporan itu dan akan menyiasat perkara ini dari semua sudut.

"Setakat ini, pasukan khas telah ditubuhkan bagi meneliti kes ini. Beri kami masa," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan ketika itu akan dipanggil untuk diambil keterangan, beliau berkata mereka akan dipanggil sekiranya perlu.

"Siasatan masih baru diambil alih Bukit Aman. Jangan buat sebarang andaian. Mereka akan dipanggil berdasarkan keputusan siasatan yang kita lakukan," katanya.

Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia pada 1990-an Datuk Dr Yusof Ismail membuat laporan polis berdasarkan syor dan rumusan RCI mengenai kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan.

Yusof dilaporkan berkata laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan rasmi ke atas kesalahan pecah amanah, jenayah dan penipuan serta lain-lain kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh pihak yang dinyatakan dalam laporan suruhanjaya tersebut.

Laporan setebal 400 muka surat itu dibentangkan di Parlimen semalam. -Bernama

Lihat Komen
ADS