Hujan lebat berterusan di Semenanjung dan S'wak hingga Ahad
Hujan lebat berterusan dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung dan Sarawak bermula hari ini sehingga Ahad ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Alui Bahari.
Menerusi satu kenyataan semalam, Alui memaklumkan bahawa keadaan itu berlaku berikutan luruan monsun dari pedalaman China yang dijangka bertumpu di pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak.
“MET Malaysia telah mengemaskini Amaran Cuaca Waspada melibatkan negeri-negeri berikut iaitu Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Terengganu, Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin), Johor (Mersing dan Kota Tinggi) serta Sarawak (Kuching, Samarahan, Serian, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah),” kata Alui.
Jelas Alui, angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan pantai timur, Semenanjung dalam tempoh itu.
Sementara itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka melanda perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang sehingga Isnin, 11 Disember.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Sementara itu, amaran angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Labuan dan Palawan sehingga Isnin depan.
Situasi sama turut dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman) dan Labuan pada tempoh sama.
Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.
- Bernama

