Disyaki curi duit datuk, remaja mati dipukul dengan kayu, hos kebun
Remaja lelaki 16 tahun mati selepas dipukul dengan kayu dan hos oleh beberapa lelaki kerana dituduh mencuri duit datuknya.
Menuruta akhbar harian berbahasa Tamil Makkal Osai, salah seorang suspek yang terlibat merupakan bapa saudara mangsa.
Klip video yang tular di laman sosial memaparkan mangsa yang cuma memakai seluar pendek menjerit kesakitan dan merayu kepada sekurang-kurangnya dua lelaki yang memukulnya dengan kayu dan hos kebun.
Dalam video itu, mangsa pada satu ketika mengaku mencuri RM4,000 daripada datuknya yang menurutnya digunakan untuk belanja rakan-rakannya.
Keterangan pada klip video itu menyatakan ia adalah berkenaan remaja lelaki “diberi pengajaran” kerana mencuri duit.
Remaja itu yang tinggal di Tangkak, Johor bersama ibu dan adik perempuannya ditemui tidak sedarkan diri di pondok bas di Ayer Keroh, Melaka pada Rabu lalu dan dikejarkan ke Hospital Melaka. Remaja itu bagaimanapun mati 30 minit kemudian.
Polis mengenal pasti tiga lelaki berumur 30an termasuk bapa saudara mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. Difahamkan salah seorang suspek telah ditahan.
Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

