Hakim Sabah, S'wak 'tak perlu' dalam kes berkaitan 2 negeri itu
Mahkamah Persekutuan dalam satu penghakiman penting semalam memutuskan bahawa para hakim yang mendengar kes-kes dari Sabah dan Sarawak tidak perlu datang daripada kedua-dua negeri itu.
Panel lima hakim memutuskan bahawa Perenggan 26 (4) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 (IGC) menyebut "hakim dengan pengalaman kehakiman Borneo" merujuk kepada pegawai kehakiman dari mahkamah rendah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan apabila mahkamah-mahkamah ini bersidang di Sabah dan Sarawak.
Dengan keputusan ini, tiada keperluan bagi Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, dalam kes ini Hakim Tan Sri Richard Malanjum harus mendengar sebarang kes melibatkan dua negeri berkenaan di Mahkamah Persekutuan.
Keputusan ini dilihat sebagai kontroversi oleh panel hakim diketuai individu nombor dua dalam badan kehakiman iaitu Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Zulkefli Ahmad Makinudin, yang menolak permohonan semakan semula oleh Keruntum Sdn Bhd.
Keruntum mencabar keputusan mahkamah tertinggi itu yang dibuat pada Mac lalu yang menolak tuntutan ganti rugi sebanyak RM130 juta daripada kerajaan Sarawak selepas kerajaan negeri membatalkan lesen pembalakan syarikat berkenaan.
Kes ini merupakan salah satu kes terpanjang yang berlarutan hampir 30 tahun.
Barisan peguam Keruntum, yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram, berpendapat bahawa keputusan yang dibuat pada bulan Mac 2017 mempunyai kegagalan koram kerana tiada seorang pun daripada lima panel hakim itu mempunyai "pengalaman kehakiman Borneo" seperti yang dinyatakan di bawah IGC, yang menyebabkan keputusannya tidak sah dan batal.
Gopal berhujah bahawa oleh sebab panel hakim Mahkamah Persekutuan dianggotai lima hakim, sekurang-kurangnya dua hakim dalam mahkamah tertinggi itu harus mempunyai pengalaman kehakiman Borneo.
Bagaimanapun, peguam negeri Sarawak JC Foong berhujah bahawa cadangan-cadangan IGC bukan kesan daripada Perjanjian Malaysia, sama ada oleh Parlimen atau oleh eksekutif.

