Bahaya calonkan PM peralihan
ULASAN Baru-baru ini, dilaporkan semasa pemukiman Pakatan Harapan pada 1 dan 2 Disember 2017 di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, calon-calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri bagi Pakatan Harapan untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) telah dinamakan.
Mereka ialah pengerusi HARAPAN merangkap pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden HARAPAN merangkap presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut laporan media, “pencalonan” ini dikatakan telah dipersetujui oleh BERSATU, Parti Amanah Negara (AMANAH), dan DAP, manakala PKR tidak menyatakan persetujuan dan ingin menangguhkan perkara ini supaya dibincangkan dalam biro politik sendiri.
Bagaimanapun, beberapa orang pemimpin HARAPAN dilaporkan berkata bahawa perkara ini perlu direstui oleh Ketua Umum HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan.
Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa perdana menteri (yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong) hendaklah seorang anggota Dewan Rakyat yang, pada hemat Yang di-Pertuan Agong, mendapat kepercayaan majoriti anggotanya.
Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang peruntukan yang menyebut tentang jawatan timbalan perdana menteri.
Kami badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin menyuarakan kebimbangan dengan tindakan yang menamakan calon perdana menteri “peralihan” atau interim sebelum keputusan PRU14 diketahui.
Tindakan ini mungkin akan menimbulkan suatu krisis kesahan (legitimacy crisis) bagi perdana menteri baru itu serta kerajaan pimpinannya, jika HARAPAN memenangi PRU-14.
Sebaliknya, pencalonan perdana menteri yang muktamad sebaik-baiknya dibuat kemudian iaitu sejurus selepas memenangi PRU-14, dan berdasarkan keputusan masing-masing bagi parti-parti komponen HARAPAN.
Lahirnya seorang perdana menteri, satu-satunya ketua kerajaan persekutuan sesebuah negara, adalah daripada parti politik yang memenangi bilangan kerusi parlimen yang meyakinkan dalam komposisi sebuah gabungan parti pemerintah.
Seperti yang telah disebut tadi, perdana menteri mestilah seseorang yang disokong oleh majoriti dalam Dewan Rakyat, iaitu melebihi 50 peratus.
Kini Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi Parlimen, menurut Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, maka perdana menteri mestilah seseorang yang disokong oleh 112 orang anggota Dewan Rakyat.
Dalam PRU13 pada 5 Mei 2013, BN telah memenangi 133 kerusi Parlimen, dengan Umno memenangi 88 kerusi.
Parti dominan
Oleh itu Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan presiden Umno yang selama ini mendominasikan BN, terus menjadi perdana menteri.
Oleh itu, jika BN ditewaskan dan kerajaan baru dibentuk, maka perdana menteri baru daripada kerajaan baru yang ditunjangi HARAPAN nanti, sebaik-baiknya hendaklah seorang anggota Dewan Rakyat yang berasal daripada parti politik yang memenangi bilangan kerusi parlimen yang menyakinkan serta mendapat sokongan 112 kerusi Dewan Rakyat, biarpun parti-parti komponen bertanding dengan tiket masing-masing, memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kelihatan masih berlengah-lengah dalam memproses permohonan pendaftaran HARAPAN sebagai suatu gabungan parti-parti politik.
Berdasarkan keputusan PRU12 dan PRU13 serta pengamatan semasa, senario yang lebih mungkin berlaku adalah sekiranya HARAPAN memenangi PRU14, parti komponennya yang memenangi kerusi parlimen yang meyakinkan adalah DAP dan PKR, diikuti BERSATU dan AMANAH.
Realiti politik menolak kemungkinan lahirnya seorang Perdana Menteri daripada DAP dan AMANAH. Sesungguhnya, pemimpin DAP terutamanya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang telah berkali-kali menafikan niat mereka untuk menjadi perdana menteri.
Maka calon perdana menteri “peralihan” berkisar antara PKR dan BERSATU.
Andaikan keputusan PRU14 menunjukkan BERSATU memenangi bilangan kerusi parlimen yang sama atau melebihi bilangan kerusi PKR, maka tiada masalah untuk BERSATU mencalonkan pemimpinnya sebagai perdana menteri.
Parti-parti komponen yang menyokong calon tersebut juga tidak berdepan dengan sebarang krisis legitimasi dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi, andaikan keputusan PRU14 menunjukkan PKR memenangi bilangan kerusi parlimen yang meyakinkan, sedangkan bilangan kerusi BERSATU tidak setimpal malah jauh berkurangan berbanding bilangan kerusi PKR, maka penetapan calon perdana menteri daripada BERSATU sebelum keputusan PRU14 diketahui akan menjurus kepada kemungkinan berlakunya krisis legitimasi.
Sesungguhnya, dalam konteks Pakatan Harapan memenangi PRU-14 di peringkat kerajaan persekutuan, senario semasa menunjukkan bahawa PKR berkemungkinan besar memenangi bilangan kerusi parlimen yang lebih banyak berbanding BERSATU.
Kami berpendapat, barisan pimpinan HARAPAN faham bahawa perkara yang penting sebelum melantik seseorang perdana menteri adalah mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Oleh itu, sentimen pengundi perlu dijaga dan diutamakan. Tiada jaminan bahawa pengundi yang mengundi HARAPAN semasa PRU-13 akan kekal dengan sokongan undinya terhadap semasa PRU-14.
Terdapat sentimen di kalangan pengundi pelbagai lapisan masyarakat yang melihat sikap Pakatan Rakyat terhadap sokongan padu PRU13 yang diberikan oleh pengundi, khususnya sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi bukan desa, sebagai “take for granted”.
Jika pencalonan perdana menteri “peralihan” diteruskan sebelum keputusan PRU14 diketahui, tanpa syarat dan tanpa mengambil kira pandangan berbeza pelbagai pihak, sentimen negatif sebilangan pengundi secara signifikan, yang menyokong perubahan rejim pemerintah, tetapi tidak setuju dengan Pakatan Harapan dalam beberapa perkara tertentu, akan terus menular.
Tak bergantung satu kaum
Pertukaran kerajaan persekutuan tidak akan berlaku dengan bergantung kepada pemerolehan undi satu kaum sahaja di negara Malaysia yang berbilang kaum.
Dalam sejarah Malaysia, apabila majoriti Melayu yang cukup besar menyokong pembangkang, pertukaran kerajaan persekutuan tidak berlaku kerana majoriti bukan Melayu yang cukup besar menyokong parti pemerintah sedia ada.
PRU10 pada tahun 1999 adalah satu contoh yang wajar dijadikan pengajaran.
Sedangkan PRU14 semakin menghampiri, apa yang kita perlukan adalah tindakan yang tidak mengundang krisis legitimasi, dan yang boleh membawa ledakan sentimen positif dan momentum masyarakat pelbagai lapisan untuk perubahan.
Perbincangan atau dialog dengan masyarakat sivil dengan perwakilan-perwakilan yang seluas mungkin perlu diadakan oleh barisan pimpinan HARAPAN untuk mendapatkan pandangan masyarakat sebelum membuat keputusan yang boleh mengundang kontroversi kemudian hari.
Menurut laporan The Malaysian Insight pada 5 Disember 2017, penganalisis politik CC Liew meramalkan mereka yang mungkin merosakkan undi adalah sekitar 10 peratus hingga 15 peratus pengundi Cina.
Penganalisis politik Dr Phoon Wing Keong menjelaskan bahawa tidak ramai yang memilih untuk membuat undi rosak tetapi yang berlaku adalah kadar keluar mengundi akan berkurangan.
Secara khususnya, pengamatan penganalisis-penganalisis politik yang memahami Bahasa Cina dan mengikuti perkembangan masyarakat Tionghua secara dekat menjurus kepada analisis sama, yakni kadar keluar mengundi akan menurun kepada satu paras yang rendah.
Seterusnya, kadar keluar mengundi yang lebih rendah akan menjejaskan peluang HARAPAN untuk menang.
Bayangkan, apa yang berlaku apabila kadar keluar mengundi berkurangan kepada paras 70 peratus?
Jika sekiranya tindakan yang diambil oleh pimpinan HARAPAN adalah perkara yang wajar dilakukan, maka tiada masalah ia diputuskan, meskipun keputusan yang diambil berdepan dengan risiko menurunkan kadar keluar mengundi.
Sesuatu yang wajar hendaklah dilakukan kerana ia benar dalam konteks yang diutarakan.
Tetapi, jika apa yang berlaku adalah sebaliknya, yang keputusan tertentu adalah cacat dari segi kewajarannya, maka apabila mengundang kontroversi atau lebih serius lagi, apabila berdepan dengan krisis legitimasi nanti, sebuah gabungan parti yang berazam memerintah dengan kebijaksanaan baru, akan memakan dirinya.
Sebuah gabungan parti yang berniat untuk bertanding hanya dalam satu PRU akan cenderung untuk mengendahkan soal pokok berkisar sekitar kewajaran dan legitimasi tindakan politiknya.
Sebuah gabungan parti yang berazam untuk bertanding dalam PRU seterusnya pula akan cenderung untuk memandang berat soal kewajaran dan legitimasi tindakan politiknya.
HARAPAN bukanlah sebuah gabungan parti yang hanya berniat untuk bertanding dalam satu PRU. Justeru, kami berharap, pimpinan Pakatan Harapan tidak mengabaikan soal kewajaran dan legitimasi tindakan politiknya.
OOI HENG adalah pengarah eksekutif Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

