Manifesto BA tidak sentuh isu negara Islam
Dua parti komponen pakatan pembangkang, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan),menegaskan Manifesto Barisan Alternatif (BA) tidak ada menyebut perkara penubuhan sebuah negara Islam sebagai matlamat bersama parti jika mereka berkuasa kelak.
Manifesto itu menjelaskan sekiranya rakyat menyokong perjuangan BA kelak, maka kerajaan yang diterajui pakatan alternatif akan "menyediakan dan mewujudkan suasana yang menggalakkan melalui prasarana, pendidikan dan perundangan, bagi meningkatkan penghayatan Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh di kalangan umat Islam".
Sebaliknya pakatan alternatif akan memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin.
Dalam kenyataan bersama PRM dan Keadilan yang didedahkan kepada malaysiakini hari ini, kedua-dua parti komponen itu cuba menjelaskan dan menjernihkan beberapa isu salah tanggapan berkaitan penubuhan negara Islam dan penerapan konsep Islam yang dijadikan kontroversi sejak akhir-akhir ini.
Perjuangan BA ' Ke Arah Malaysia Yang Adil', yang menjadi moto Manifesto BA dan dipersetujui sebelum pilihanraya umum 1999, masih digunapakai sebagai asas yang terbaik dan terkuat untuk mengukuhkan kerjasama serta perpaduan di antara parti-parti BA, menurut kenyataan bersama oleh Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali dan Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut kenyataan itu lagi, ia bermakna penghayatan sistem hidup (ad-deen) itu terbatas kepada umat Islam sahaja dan menepati tuntutan agama Islam itu sendiri bahawa tidak ada paksaan dalam soal beragama.
"Kami juga mendukung prinsip kebebasan beragama seperti yang terkandung dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan," jelas kedua-dua pemimpin.
Ia selanjutanya menegaskan perjuangan BA tidak mengikut tuntutan sesebuah parti tetapi berjuang berasaskan Manifesto parti komponen dan sebarang usaha untuk meminda perlembagaan seperti menubuhkan sebuah 'Negara Islam' atau 'Malaysian Malaysia' oleh mana-mana parti komponen tidak akan direstui oleh pakatan alternatif.
Meminda perlembagaan
"Semua parti komponen BA bersetuju tidak akan meminda perlembagaan negara Malaysia tanpa sokongan dua-pertiga melalui pungutan suara," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pakatan alternatif bersetuju untuk mengekalkan dan mempertahankan Perkara 74, 75 dan Jadual ke-9 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan hubungan Pusat dan Negeri mengenai bidang perundangan.
Dr Syed dan Wan Azizah menyeru pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif (BA) supaya berwaspada membuat kenyataan yang boleh diselewengkan oleh media utama untuk memburukkan pakatan pembangkang.
Kata mereka, segala perbezaan atau perselisihan pandangan lebih baik diselesaikan secara perundingan.
DAP semalam tidak menolak kemungkinan akan keluar dari parti komponen itu berikutan isu kontroversi negara Islam yang dihebohkan sejak akhir-akhir ini.
Isu konsep Islam itu telah dieksploitasi oleh beberapa akhbar arus perdana dengan menyelewengkan fakta sebenar sehingga boleh menjejaskan keutuhan pakatan pembangkang.
Bagaimanapun, PRM dan Keadilan tetap menghormati hak setiap parti atau individu untuk mempunyai ideologi dan matlamat jangka panjang masing-masing.
Sehubungan itu, pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang akan terus berbincang secara sihat, matang dan terbuka bagi membuka ruang kepada semua pihak memahami isu berbangkit sehingga tercapai satu titik pertemuan.

