Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Henti asing kelas, tiada lagi sekolah kawalan’
Diterbitkan:  Dec 27, 2017 12:19 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Bermula tahun 2019, semua sekolah diarahkan supaya tidak mengamalkan budaya pengasingan kelas antara pelajar berdasarkan tahap penguasaan akademik murid.

Arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin yang menegaskan budaya pengasingan kelas perlu dihentikan sepenuhnya bagi mengelakkan jurang kepandaian antara pelajar.

Beliau berkata, amalan itu bukan dasar pendidikan namun dilaksanakan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI).

"Kita tidak menggalakkan sekolah untuk melakukan pengasingan kelas mengikut tahap kepandaian seseorang, tetapi amalan itu dilakukan oleh pihak sekolah untuk menjaga KPI sekolah mereka.

"Namun bermula tahun ini kita telah selaraskan dengan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), yang mana pihak sekolah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana kita mahu murid dididik secara holistik dan tidak terlalu mementingkan pencapaian akademik

"Tiada lagi keperluan untuk mengasingkan murid, sebaliknya kita akan mengumpulkan mereka dalam kumpulan pelajar yang mempunyai kelebihan berbeza-beza tahap penguasaan mereka agar boleh saling membantu," katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian.

Amin berkata, sehingga kini masih ada lagi sekolah yang mengamalkan budaya pengasingan kelas, hingga ada yang melaksanakan ujian saringan kemasukan kelas bagi tahun satu.

Sementara itu, Berita Harian pula memetik Amin sebagai berkata Jabatan Pelajaran Negeri juga mesti menghentikan sekolah kawalan, iaitu memilih pelajar berdasarkan pencapaian sukan, akademik serta disiplin, kerana tidak selaras dengan dasar pendidikan negara.

"Kita tidak menggalakkan amalan ini yang kadang kala menyusahkan pelajar kerana ada sesetengah kes, pelajar terpaksa pergi ke sekolah yang jauh kerana tidak diterima di sekolah berhampiran kawasan perumahannya," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Amin turut berkata Kementerian Pendidikan tidak bercadang mengeluarkan pekeliling berhubung semua amalan lama berkenaan, namun berharap pentadbir sekolah memahami perubahan yang sedang dilaksanakan kementerian dan menerapkan amalan yang seiring dasar pendidikan negara.

Lihat Komen
ADS