Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Luar daripada kebiasaan, polis Selangor menggunakan pendekatan lebih mesra untuk menyampaikan mesej berguna kepada pasukannya, sekali gus mengikis tanggapan bahawa anggota polis mesti selalu kelihatan garang.

Antara nasihat kepada anggota keselamatan itu - semasa kerja jangan suka berbohong dan jangan buat 'perangai samseng'.

Menariknya, mesej itu disampaikan dalam bentuk rakaman nyanyian oleh pegawai-pegawai tertinggi polis Selangor.

Menerusi klip video yang disiarkan oleh Friends Of PDRM, mereka dilihat menyampaikan lagu berkenaan dengan penuh perasaan.

Video berdurasi 3 minit 36 saat itu menampilkan beberapa pegawai kanan termasuk Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab, Ketua Jabatan Pengurusan Polis Selangor Sulaiman Salleh dan lain-lain ketua jabatan mewakili kontinjen Selangor.

Berjudul "Aku Memang Polis", lirik lagu itu diubah suai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang turut sama menyanyikan lagu dalam video tersebut.

"Lirik itu dibuat dalam bentuk nasihat.Tujuannya kita nak beri nasihat kepada pegawai dan anggota.

"Saya ada sebut buat kerja jangan suka mengungkit macam pegawai samseng, itu antara elemen yang masyarakat awam tanya polis kenapa (polis) suka cakap kasar-kasar.

“Dalam lagu itu juga ada sebut jangan suka membohong nanti kena lambung dan kita cakap (polis) kerja demi keluarga,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Fadzil berkata dari segi susunan lirik pula beliau menggunakan bahasa yang mudah difahami agar anggota polis mengingati pesanan tersebut.

"Lirik itu tak rasmi tapi santai untuk hiburan sekurang-kurangnya boleh ingat di minda.

"Penyampaian secara halus. Kalau dia polis, dia boleh faham istilah kena lambung, balik kampung tanam jagung. Jadi keseluruhan lagu menasihati polis itu sendiri," Ujarnya yang menambah pembikinan lagu itu tidak membabitkan sebarang kos.

Garang ada tempatnya

Beliau berkata tujuan lagu itu dinyanyikan untuk mengikis tanggapan masyarakat bahawa polis mesti sentiasa kelihatan garang.

“Kita nak tunjuk garang pada tempatnya, marah pada tempatnya, ada masa perlu mesra, ada masa humor dan mesra dengan masyarakat, ada masa kita perlu serius,” katanya.

Fadzil turut berkata beliau sangat terkejut dengan penerimaan masyarakat selepas klip video itu tular di media sosial.

“Kita bukan berniat nak viralkan tapi ia diterima masyarakat.

"Saya gembira sebab masyarakat boleh terima terutamanya di media sosial, sangat positif,” katanya yang mengubah suai lirik daripada lagu asal ‘Aku Budak Kampung’ nyanyian Ramsa.

Setakat ini video berkenaan mencapai hampir 60,000 tontonan di media sosial.

Lihat Komen
ADS