Mimbar: Kukuhkan setiakawan sempena tahun baru
Menjelang tahun 2018, masyarakat Islam diseru berganding bahu dan memperkukuhkan hubungan setiakawan.
Mimbar berkata, elemen sokongan antara satu lain dalam pengurusan dapat memberikan impak positif terutamanya melibatkan urusan kehidupan umat Islam setiap hari.
"Menjelang kehadiran 2018 ini, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian, marilah kita bersama-sama memperkukuhkan hubungan setiakawan sesama kita dengan saling bantu membantu.
"Sesungguhnya umat yang berdiri dalam satu barisan yang padu sukar ditembusi faktor pemecah-belah," kata teks khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk “Kemakmuran Ekonomi Kesejahteraan Rakyat”.
Mimbar berkata lagi, atas rasa ketakwaan dan kasih sesama manusia, umat Islam diseru menunaikan kewajipan berzakat.
"Di penghujung tahun ini marilah kita tunaikan hak harta kita menerusi kewajipan berzakat, budaya menginfaq dan sebagainya.
"Sesungguhnya amalan mulia ini mampu meningkatkan kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat serta menambah kemakmuran negara," kata mimbar lagi.

