Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Calon PM dari HARAPAN mesti diumum
Diterbitkan:  Dec 29, 2017 1:55 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak ada pilihan dan mesti menamakan calon perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata rakyat mahu tahu siapa yang akan mengetuai kerajaan sekiranya gabungan itu berkuasa kelak.

"Tidak ada pelan B, (yang ada) pelan A satu saja iaitu mesti umum (calon perdana menteri) dan mesti diumumkan sebelum pilihan raya," katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight menjelang perhimpunan agung pertama parti itu esok.

Muhyiddin juga berkata gabungan pembangkang itu sudah berjanji kepada rakyat mahu membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding BN.

"Yang ditanyakan oleh orang ramai, kalau ya kamu mahu jadi kerajaan, siapakah perdana menteri kamu?".

"Suara rakyat ini tidak boleh kita pendamkan atau kita abaikan. Bagi saya yang penting bukan parti kita, yang penting apa rakyat mahu," tambah nya.

Media sebelum ini melaporkan HARAPAN mencadangkan Mahathir sebagai perdana menteri sementara, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya ketika pemukiman gabungan itu di Putrajaya awal bulan ini.

Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi di kalangan penyokong HARAPAN sendiri, yang dilihat tidak senang dengan perkara itu.

PKR kemudian berkata parti itu belum membuat keputusan muktamad berhubung soal itu.

Bagaimanapun semalam Malaysiakini melaporkan PKR secara prinsip bersetuju dengan cadangan agar Mahathir dipilih sebagai perdana menteri dan  Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri sementara.

Menurut sumber, keputusan itu dibuat pada mesyuarat biro politik PKR pada 19 Disember lalu dan turut mendapat restu daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian besar pemimpin PKR bagaimanapun enggan mengulas kerana difahamkan terdapat arahan "menutup mulut" berhubung isu berkenaan.

Lihat Komen
ADS