Paling Popular
Terkini

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar hari ini menjelaskan kerja-kerja pendalaman di Sungai Kelantan dan Sungai Pahang hanya dibuat selepas kajian teliti termasuk survei batimetri (profil kedalaman air sungai) dilakukan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, kementerian itu berkata kajian terbabit dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Tujuan utama kerja-kerja pengorekan di Sungai Kelantan dan Pahang ialah mendalamkan muara kedua-dua sungai yang berkelodak serta menyebabkan banjir di kawasan terbabit selama beberapa tahun.

“Dua syarikat terbabit juga tidak dibenar melakukan kerja-kerja mengorek sehingga mereka telah memenuhi dan mematuhi garis panduan ketat JAS dan JPS. Kedua-dua jabatan berkenaan juga memantau rapi operasi syarikat tersebut,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan bagi mengulas dakwaan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr P. Ramasamy berhubung eksport pasir ke India.

Faedah ekonomi

Kementerian itu juga berkata ia tidak akan teragak-agak menarik balik permit kedua-dua syarikat berkenaan sekiranya mereka didapati melanggar garis panduan pengorekan atau eksport.

Berhubung dakwaan perlombongan pasir di kedua-dua sungai tersebut akan menjejaskan alam sekitar, kementerian itu berkata ia adalah tidak benar dan isu tersebut telah dijelaskan pada bulan lepas.

Sebagai penjaga sumber asli dan alam sekitar Malaysia, kementerian ini menegaskan sebarang ekploitasi terhadap sumber asli hanya akan dibuat selepas memastikan aspek alam sekitar terjamin, demikian menurut kenyataan itu.

Mengenai harga pasir Malaysia yang lebih murah berbanding India, kementerian berkata perkara itu mungkin disebabkan terdapat pasir sungai yang banyak di negara ini.

“Ini merupakan satu rahmat kerana kita boleh menjual dan mengeksport pasir kita untuk faedah ekonomi kepada semua rakyat Malaysia,” kata kementerian itu.

Ia juga berharap isu tersebut tidak lagi dibangkitkan susulan penjelasan yang diberikan itu.

“Kementerian tidak akan membahaskan lagi isu ini dengan timbalan ketua menteri selepas ini,” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS