Jangan sambut tahun baru di Banda Aceh
GLOBAL | Jangan rayakan kedatangan tahun baru - itu pesanan daripada pihak berkuasa tempatan di Banda Aceh buat penduduk di situ.
Notis larangan berkenaan, kata Ketua Polis Syariah Banda Aceh, Evendi A Latif, sudah ditampat di tempat-tempat awam serta pasar di bandar raya itu.
Selain itu katanya makluman larangan itu juga disampaikan kepada masyarakat melalui pengumuman unit bergerak pasukannya.
Dipetik Tempo hari ini, Evendi berkata pada malam tahun baru nanti anggota penguatkuasa Polis Syariah Aceh akan membuat rondaan bagi mencegah perayaan di tempat-tempat awam.
"Pengawasan dilakukan di lokasi-lokasi berpotensi menjadi tempat kekacauan.
"Operasi itu juga akan dibantu pasukan polis," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut Evendi berkata larangan berkenaan bukan sesuatu yang baru di Aceh malah diadakan sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu Datuk Bandar Banda Aceh Aminullah Usman menjelaskan larangan berkenaan dibuat kerana sambutan itu bertentangan dengan syariat Islam.
Katanya semua orang di Banda Aceh perlu mematuhi larangan berkenaan.
Notis cegahan sambutan tahun baru itu antara lain menyatakan tidak boleh memasang bunga api atau mecun, meniup trompet, berlumba kenderaan atau melakukan aktiviti yang boleh mengancam ketenteraman atau melanggar syariat Islam serta adat istiadat Aceh.

