Paling Popular
Terkini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mungkin beranggapan orang Melayu tidak faham isu mengenai penyelewengan wang negara.

“Najib tidak sayang pada Melayu, Najib fikir Melayu lebih mudah ditipu. Inilah kepandaian Najib, dia akan menipu orang Melayu kononnya, orang Melayu begitu bodoh, tak faham duit sebanyak berbilion-bilion.

“Bagi orang Melayu katanya (Najib), kalau curi RM100, RM200 itu mereka faham, kalau curi ayam, itu mereka faham. Kalau curi berbilion kononnya orang Melayu tak boleh bilang, dia (orang Melayu) tak faham apa bilion-bilion ini.

“Inilah harapan Najib, kononnya orang kampung bodoh, tak tahu berapa bilion yang dia curi,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata demikian di hadapan 941 perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semasa berucap di perhimpunan agung tahunan pertama parti itu di IDCC Shah Alam, hari ini.

Dr Mahathir turut menempelak tindakan kerajaan yang mengadakan persempadanan semula memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan tiba tidak lama lagi.

Katanya, Najib seolah-olah terlalu bergantung harap kepada pengundi Melayu serta ingin menjadikan kerajaan didominasi kaum itu.

“Kita nampak Najib bergantung sangat pada pengundi Melayu, untuk ini beliau membuat bermacam-macam termasuk ubah sempadan pilihan raya supaya diasingkan orang Melayu dengan Cina dan asingkan kawasan yang Najib percaya dia boleh menang.

“Dia berharap kali ini Umno akan bertanding lebih banyak kawasan kerana ingin mendirikan sebuah kerajaan yang penuh didominasi oleh Melayu.

"Mungkin ada di kalangan kita yang anggap kawasan yang dia asingkan untuk orang Melayu dan ini menambah wakil rakyat Melayu.

“Tuan-tuan, puan-puan, orang Melayu tak bodoh, mereka tahu tujuan Najib tambah calon Melayu ialah kerana orang Melayu mungkin mudah ditipu dan beri sokongan kepada Najib,” katanya.

Lihat Komen
ADS