Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

LAPORAN KHAS I Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) disebut-sebut sebagai pemangkin ekonomi negara.

Namun sebelum projek itu dapat dilaksanakan, ia mesti terlebih dahulu menyelesaikan beberapa isu sosial melibatkan pengambilalihan tanah, di antaranya membabitkan Kampung Dato Abu Bakar Baginda.

Terletak di pinggir Kajang dan di antara Bangi dan Putrajaya, kampung tradisional Melayu itu mungkin menghadapi pengambilalihan tanah terbesar akibat penjajaran HSR sepanjang 328km.

Penduduk setempat memberitahu Malaysiakini, kira-kira 100 plot tanah yang terdiri daripada 300 hingga 400 buah rumah akan terjejas oleh HSR, menjadikannya kumpulan paling besar terjejas berbanding pengambilalihan tanah di tempat lain di sepanjang laluan itu.

Bagi kebanyakan kawasan, pemaju projek MyHSR Corporation telah berusaha meminimumkan pengambilan tanah dengan merentas laluan di Kampung Dato Abu Bakar Baginda dari utara ke selatan, sebelum tiba di stesen HSR Putrajaya-Bangi.

Kampung Dato Abu Bakar Baginda memiliki sejarah yang kaya dan pengambilalihan tanah di kawasan itu bakal mencetuskan polemik politik baru antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Kampung itu terletak di Selangor yang dikuasai pembangkang dan sudah ada penduduk memberitahu Malaysiakini bahawa mereka bercadang menghantar petisyen kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak mengenai hal-hal tanah.

Selain itu, kampung ini terdiri daripada plot tanah rizab Melayu, yang menghendaki ia diganti sekiranya berlaku pengambilalihan.

Kumpulan pendesak hak Melayu juga sebelum ini merungut mengenai kehilangan tanah rizab Melayu.

Setiausaha Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Mohd Ruszat Mohd Masirin (gambar) berkata skala pengambilalihan itu akan menjejaskan cara kehidupan di kampung mereka.

"Banyak perkara akan hilang. Kehidupan penduduk kampung di sini di kampung ini, di mana mereka akan pergi? Adakah pampasan ini dapat memberikan kami saiz tanah dan kualiti hidup yang sama seperti yang kami ada sekarang?

"Bagi kebanyakan penduduk kampung, mereka bergantung kepada kampung kerana mereka menjalankan perniagaan di sini, seperti sesetengah orang mempunyai bengkel kereta mereka sendiri. Itulah sumber pendapatan mereka.

"Projek ini akan memusnahkan kehidupan di kampung," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di sebuah kedai kopi di kampung itu.

Dikenali sebagai Kampung Air Hitam sebelum tahun 1960-an, kampung itu dinamakan Kampung Dato Abu Bakar Baginda sebagai penghormatan kepada menteri besar Selangor ketujuh yang berkhidmat sejak 1959 hingga 1964.

Menteri besar Selangor pertama selepas Merdeka itu telah menganugerahkan 30 ekar tanah kepada penduduk berketurunan Jawa bagi membolehkan mereka merancang sistem perumahan secara sistematik.

Mohd Ruszat, seorang datuk berusia 56 tahun, telah menetap di kampung itu sejak dia dilahirkan.

"Saya percaya 95 peratus penduduk kampung yang terlibat menentang projek itu. Saya tidak akan melayan apa-apa perbincangan mengenai pampasan. Saya mahu penjajaran keluar dari kampung saya," tambah Mohd Ruszat.

Pada 18 November, MyHSR Corp menganjurkan satu sesi taklimat melibatkan pihak berkepentingan dengan penduduk kampung di sekolah rendah berhampiran.

Lebih 200 penduduk menghadiri pertemuan itu dan sebulat suara menyuarakan bantahan terhadap projek berkenaan.

Menurut Mohd Ruszat, jurutera MyHSR yang melakukan taklimat itu tidak menawarkan jawapan yang konkrit tetapi berjanji untuk menyampaikan bantahan kepada pihak atasan.

Shawal Afendi, 35, yang menghadiri taklimat itu, bertanya sama ada penjajaran itu boleh dipindahkan supaya rumahnya dapat diselamatkan.

"Penjajaran itu kelihatan seperti tidak dapat diubah tetapi kami masih menunggu jawapan daripada MyHSR," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di kedai kopi yang sama.

Penduduk Kampung Azzili Kamsani dan Hanafi Mohd Jani, yang rumahnya tidak terjejas secara langsung oleh penjajaran yang dicadangkan itu turut menentang projek berkenaan.

Walaupun ramai mengalu-alukan stesen berhampiran rumah mereka, Azzili dan Hanafi berbeza pendapat.

"Ini adalah kampung warisan. Bina stesen di sana akan bawa orang lain dan masalah sosial masuk ke kampung seperti vandalisme dan samseng. Saya menentang projek ini, "kata Azzili.

Mohd Ruszat menubuhkan jawatankuasa bertindak seramai 12 anggota untuk berunding bagi pihak penduduk kampung.

Jawatankuasa ini telah menyuarakan pendapatnya kepada ADUN Dengkil dari Umno, Shahrum Mohd Sharif dan Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Beliau juga menganjurkan penduduk kampung untuk mendaftarkan bantahan mereka di gerai pameran awam HSR.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp (CEO) Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal (gambar) sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa pengambilalihan itu "tidak dapat dielakkan".

"MyHSR telah mengenal pasti bilangan rumah dan bangunan yang terjejas semasa peringkat perancangan untuk mengenal pasti penjajaran optimum di samping mengurangkan kesan sosial keseluruhan," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata penjajaran itu belum dimuktamadkan dan maklum balas yang dikumpulkan dari orang ramai yang bermula pada bulan November akan diambil kira.

Mohd Ruszat kini sedang gigih mengumpul tandatanga petisyen bagi menentang projek itu dan merancang untuk membentangkannya kepada Azmin sebelum pemeriksaan awam HSR.

[Berita berita asal]

Laporan terdahulu

Bahagian I: Adakah kawasan anda dalam laluan HSR KL-Singapura?

Bahagian II: Reaksi penduduk yang terjejas dengan HSR

 

Lihat Komen
ADS