Tepat jam 12 malam 1 Januari 2018 berakhirlah kutipan di dua plaza tol melibatkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sg Rasau di Shah Alam, Selangor.
Pemansuhan kutipan tol ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018 lalu sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Namun di kala jutaan pengguna kenderaan menyambut langkah berkenaan dengan penuh kegembiraan, ada hati yang sedih dan pilu mengenangkan penutupan plaza tol tersebut.
Seorang pekerja tol di Plaza Tol Sg. Rasau, Shah Alam, Jemaah Abdul Hadi,38, berkata terlalu banyak kenangan dilalui sepanjang 15 tahun berkhidmat di situ.
“Sedihlah dah 15 tahun berkhidmat di sini. Kenangan jangan cakaplah terlalu banyak, ada pahit dan ada manis. Kena maki (dengan pengguna kenderaan) itu biasa,” kata Jemaah kepada Malaysiakini.
Bagi Fuziah Mohd Yassin, 40 beliau telah berkhidmat di plaza tol itu selama 24 tahun dan penutupannya malam tadi benar-benar memberi kesan mendalam kepada dirinya.
Fuziah dimaklumkan beliau akan dipindahkan ke plaza tol Seafil bermula Januari.
Manakala Mohd Hasbullah Hashim, 29, berkata meskipun hanya tujuh tahun berkhidmat di plaza tol yang sama pemansuhan tol itu tetap mengusik hati kecilnya.
Bagaimanapun, Hasbullah akur dan menerima keputusan itu demi kebaikan rakyat.
“Sedihlah sebab dah lama berkhidmat di sini tapi ini yang rakyat nak dan mereka gembira dengannya, kita terimalah dengan seadanya,” kata Hasbullah yang akan menjalankan tugas di plaza tol Kuala Lumpur International Airport (KLIA) selepas mengambil cuti rehat untuk beberapa hari.
Sementara itu Mohd Hafizi, 25, berkata tiada apa lagi yang mahu dikongsikan selain perasaan sedih sebaik saja tugasannya berakhir malam tadi.
Dalam ucapan Bajet 2018, Najib mengumumkan empat tol di Selangor, Kedah dan Johor akan dimansuhkan bermula 1 Januari 2018.
Selain plaza tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau, kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan tol Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor turut dimansuhkan.
Pengguna plaza tol Sg. Rasau dan Batu Tiga menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian konsensi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
'Azmin jangan dabik dada'
Sementara itu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar mengingatkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar tidak mendabik dada dengan usaha kerajaan Persekutuan itu.
“Menteri besar tak payah dabik dadalah, (MP Shah Alam) Khalid Samad lagi tak payah nak dabik dadalah. Dia (pembangkang) berkumpul di sini tadi masa saya lalu, tak apa itu memang perangai pembangkang.
“Kita percaya nanti bila tutup tol ini nanti merekalah (pembangkang) yang akan mengambil kesempatan seolah-olah merekalah yang menjadi perjuangan kepada rakyat,” kata Noh.
Noh yang juga Pengerusi BN Selangor berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Sempena Pemansuhan Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga serta sambutan Tahun Baru 2018 di Shah Alam, malam tadi.
Terdahulu sekumpulan 100 penyokong BN berhimpun di plaza tol Sungai Rasau dengan melaungkan “Terima kasih BN” dan “hidup BN”.
Manakala pengguna plaza tol pula turut memberi respon dengan membunyikan hon.
Sementara itu Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor turut mengadakan himpunan di plaza tol yang sama diketuai oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail.
Pada himpunan tersebut sekumpulan 100 penyokong HARAPAN melaungkan “mansuh tol” dan “bebas rakyat”.
