Rakyat Iran teruskan protes terhadap kerajaan
GLOBAL I Tunjuk perasaan di Iran memasuki hari keempat pada Ahad meskipun kerajaan memberikan amaran keras akan mengambil tindakan terhadap para perusuh.
Dalam reaksi pertama terhadap protes berkenaan, Presiden Hassan Rouhani menyeru penunjuk perasaan agar bertenang dan mengatakan rakyat Iran mempunyai hak untuk mengkritik pihak berkuasa.
Bagaimanapun menurut media rasmi beliau memberi amaran: "Kerajaan tidak akan menunjukkan toleransi kepada mereka yang merosakkan harta awam, melanggar ketenteraman awam dan mewujudkan rusuhan dalam masyarakat."
Tunjuk perasaan membantah kerajaan berlaku di beberapa bandar raya utama di Iran sejak Khamis, termasuk Teheran dan Khorramabad, lapor Reuters.
Protes bermula di Mashhad oleh penduduk yang membantah peningkatan kos hidup dan ekonomi yang merudum.
Mereka mengoyakkan poster pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Di Teheran, penunjuk perasaan di Universiti Teheran turut melempar batu ke arah polis yang membalas dengan gas pemedih mata.
Demonstrasi ganas di seluruh negara menyebabkan setakat ini dua orang terbunuh dan beratus yang lain ditangkap.
Kerajaan Iran juga dilapor menyekat akses internet di beberapa kawasan.
Protes itu adalah yang terbesar sejak bantahan terhadap pelantikan presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.
Sementara itu Rumah Putih dalam satu kenyataan pada Ahad menegaskan bahawa kerajaan Iran perlu mendengar bantahan rakyat mereka.

