Polis Kelantan hari ini menyerahkan sumbangan wang tunai dan barang keperluan dapur kepada seorang bapa tunggal, Mohd Zain Abdullah, 55, yang terpaksa menjaga tiga anaknya yang menghidap palsi serebrum di Kampung Kok Keli 1 di sini.
Sumbangan itu diserahkan Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad yang hadir bersama beberapa pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Din berkata pihaknya tersentuh apabila mendapat tahu mengenai beban yang ditanggung oleh bapa tunggal berkenaan dan mengadakan kutipan derma kilat bagi disumbangkan kepada keluarga tersebut.
"Sumbangan derma dan pelbagai barang dapur ini adalah hasil derma kakitangan di IPK dan IPD Tumpat bagi meringankan beban keluarga ini.
"Selain mencegah jenayah, polis juga tidak ketinggalan melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu mana-mana pihak yang dalam kesusahan," katanya kepada pemberita di Tumpat, hari ini.
Sementara itu, Mohd Zain berkata beliau bersyukur dengan pelbagai sumbangan yang diterimanya sejak kisahnya yang perlu membesarkan tiga anak kelainan upaya secara bersendirian dilaporkan oleh media pada 20 Dis lalu.
Tiga anak istimewa Mohd Zain ialah Khairul Nisaa', 23; Muhammad Amir, 16, dan Ain Husna, 15.
“Sejak kematian isteri (Nooraini Ismail) pada 18 Dis lalu akibat kanser payu dara, saya berhenti kerja buat sementara waktu sebagai tukang rumah untuk memberi tumpuan penuh kepada tiga anak istimewa saya ini.
“Bagaimanapun beban saya ringan sedikit apabila anak kedua, Ummi Syamirah, 25, sanggup berhenti kerja sebagai jurujual bagi membantu menguruskan tiga adik-adiknya itu. Saya reda dengan ketentuan Ilahi dan akan terus menjaga anak saya ini walau apapun yang berlaku,” katanya. -Bernama
