Pua: Larangan buku Zaid bukti Malaysia makin totalitarian
Langkah terbaru Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan sebuah buku oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membuktikan bahawa kerajaan hari ini menjadi semakin totalitarian, kata ahli parlimen DAP Tony Pua.
Buku Zaid “Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia” yang diterbitkan pada tahun 2015 itu diharamkan di bawah Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984 (PPPA) kerana dikatakan "mungkin memudaratkan ketenteraman awam serta kepentingan awam serta menggemparkan fikiran orang ramai.”
Membidas ini sebagai "alasan yang tidak wajar", Pua berkata larangan itu adalah "bukti kerajaan tidak menghiraukan kebebasan bersuara dan idea di Malaysia".
Kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.
"Ia menunjukkan betapa besar kuasa PPPA untuk membolehkan Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan (buku itu) tanpa sebarang alasan jelas ... dan ini menunjukkan bahawa kerajaan cuba melaksanakan kawalan totalitarian terhadap idea-idea yang boleh dibincangkan oleh rakyat Malaysia.
"Ini benar-benar bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi yang dipegang oleh negara ini,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
Menurutnya, pengharaman itu mempunyai persamaan dengan bagaimana rejim totalitarian seperti bekas Soviet Union pimpinan Joseph Stalin atau China pimpinan Mao Tse Tung China yang yang melarang segala bentuk ungkapan yang memudaratkan kepentingan golongan elit yang memerintah, kata Pua.
Sebaliknya, negara-negara demokratik menangani isu-isu itu melalui proses yang sewajarnya.
"Dalam keadaan demokratik, penulis dan penerbit akan dibawa ke mahkamah untuk dipertanggungjawabkan dengan sebarang kesalahan jenayah yang mungkin berlaku.
"Sekalipun tidak ada unsur jenayah yang terlibat, kerajaan harus menyediakan fakta dan justifikasi sekurang-kurangnya untuk membuktikan kandungan buku itu adalah salah,” kata Pua.
Selain daripada buku Zaid, 20 lagi penerbitan lain turut diharamkan.

