Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mayat bayi ditemui dalam beg di tepi tasik
Diterbitkan:  Jan 5, 2018 10:40 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Satu beg galas yang ditinggalkan di tepi tasik dan dihurung lalat yang ditemui seorang pemancing membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan di Tasik Seksyen 6, Kota Damansara petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mayat bayi yang dibungkus dalam beg plastik dan disumbat dalam beg galas itu ditemui pemancing warganegara Indonesia yang sedang memancing di kawasan berkenaan.

“Dia menemui beg galas berwarna hitam yang ditinggalkan atas rumput di tasik itu dan kemudian membuka beg galas berkenaan sebelum menemui beg plastik yang berisi mayat bayi perempuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata pemancing itu segera menghubungi rakannya yang kemudiannya pergi ke lokasi kejadian sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

Beliau berkata polis sedang menyiasat sama ada bayi itu baru dilahirkan atau sebaliknya.

“Punca kematian akan ditentukan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS